Friday, August 19, 2022

Sokong bina kilang pengeluaran hidrogen hijau

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyokong cadangan Fortescue Future Industries (FFI) untuk mewujudkan kilang pengeluaran hidrogen hijau di Sarawak. Katanya, cadangan projek itu juga selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030.

Projek tersebut dijangka dapat memartabatkan Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030, jelasnya. “Melalui kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar, diyakini dapat mencapai misi tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Pemanasan global mempercepatkan penggunaan teknologi yang lebih hijau. “Perang Rusia-Ukraine juga mempercepatkan langkah ke arah sumber tenaga hijau alternatif, dan bukannya bergantung kepada bahan api fosil,” tambahnya.

Beliau berkata, Sarawak sentiasa mengekalkan pelaburan yang menarik untuk kepentingan rakyat dan negeri. Baru-baru ini, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar itu mengetuai delegasi Sarawak melawat ibu pejabat FFI di Australia.

Dalam lawatan dua jam itu, taklimat diberi mengenai cadangan FFI untuk menyediakan kilang pengeluaran hidrogen hijau di Sarawak.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datuk Abdullah Zaidel; Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (Mintred) Sarawak Dzulkornain Masron; Penasihat Mintred Datuk Naroden Majais dan Pegawai Khas Mintred Datuk Liaw Soon Eng turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru