Friday, August 19, 2022

Satu pengiktirafan pendigitalan Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Pelantikan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) sebagai platform berpusat bagi penawaran dan permintaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merupakan satu pengiktirafan untuk negeri ini  daripada sudut pendigitalan.

Turut dikenali sebagai Hab Kolaborasi TVET, watikah pelantikan Centexs tersebut diserahkan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku pelopor inisiatif digital di Sarawak, pada Sabtu.

Menurut Abang Johari, pelantikan tersebut juga membuktikan tahap pembangunan Sarawak sudah menembusi peringkat yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.  “Penerimaan watikah pelantikan Centexs itu juga membuktikan bahawa kita sudah diiktiraf daripada sudut pendigitalan dan penanda aras untuk Sarawak membangun ke tahap yang lebih tinggi.

“Sebab itu saya melancarkan inisiatif ekonomi digital pada 2018 kerana yakin kita membangun dalam dunia yang bersaing menggunakan pendigitalan sebagai asas aktiviti ekonomi,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Ekspo Pendidikan Sarawak 2022 di Yayasan Sarawak, di sini, semalam.  Tambahnya, dalam usaha ke arah tersebut, Kerajaan Sarawak juga telah menubuhkan pelbagai institusi pengajian seperti Centexs dan Perkampungan Digital Tegas bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran digital.

“Ini bermakna masa hadapan anak-anak kita cerah kerana semua sektor masa hadapan berteraskan ilmu pendigitalan dan teknologi yang telah saya wujudkan masa kini.

“Contohnya, dalam industri pelancongan, seni persembahan dan sebagainya yang kini turut mengguna pakai teknologi dalam mempromosi tempat tarikan dan banyak lagi. Berbanding dahulu teknologi hanya digunakan dalam sektor pembuatan.

“Namun saya harus  mengucapkan tahniah kepada rakyat Sarawak kerana berjaya mengadaptasikan penggunakan teknologi dalam kehidupan seharian dalam tempoh empat tahun ini sejak ia dilancarkan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Centexs merupakan satu-satunya pusat kemahiran di Sarawak yang menerima pelantikan Hab Kolaborasi TVET pada Majlis Perasmian Penutup Sambutan Minggu TVET Negara (MTN) 2022 di Dewan Al-Jazari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam Selangor, Jumaat lalu.

Program terbabit melibatkan  11 kementerian dan diselaraskan  Kementerian Pengajian Tinggi sebagai platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri.

Sejumlah 12 hab dikenal pasti termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan yang akan dilaksanakan di seluruh Malaysia.  Bermula sebagai pusat latihan kemahiran sehingga menjadi pusat latihan teknikal terkini, Centexs berjaya melatih lebih 2000 belia dari seluruh Sarawak dengan hampir kesemua program yang ditawarkan bertaraf pensijilan antarabangsa.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru