Friday, August 19, 2022

Sarawak perlu ramai pakar sains

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak perlu melahirkan lebih ramai tenaga pakar tempatan khususnya dalam bidang sains bagi memenuhi keperluan industri bioteknologi dan kimia yang semakin berkembang di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, justeru itu anak Sarawak harus dilatih dari sudut berteraskan sains untuk menambah nilai sumber yang ada di negeri ni.

Menurutnya, Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 600 jurutera kimia sebaik sahaja loji rawatan gas masam (sour gas) di Taman Perindustrian Petrokimia Bintulu mula beroperasi.

“Tiga hari lalu, saya menyaksikan kerjasama antara syarikat Thailand dengan Petronas untuk membangunkan gas masam. Menurut mereka, diperlukan 600 jurutera kimia untuk satu loji.

“Di mana kita hendak cari 600 jurutera ini? Itu hanya untuk satu loji — kita akan mempunyai dua buah loji, kerana Shell juga mahu membina satu. Kalau ada dua loji, kita perlukan kira-kira 1,200,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Ekspo Pendidikan Sarawak 2022 di Yayasan Sarawak, di sini, pada Sabtu.  Ujarnya, dengan banyak pelaburan asing masuk, Sarawak amat memerlukan bakat tempatan yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan industri.

“Kerajaan Sarawak juga akan mengeluarkan permit kerja lima tahun sekali gus kepada tenaga pakar asing supaya mereka boleh bekerja di sini dan dalam masa yang sama melatih rakyat kita sehingga menjadi mahir.

“Apabila lima tahun itu tamat, rakyat tempatan kita sudah mempunyai kemahiran dan pengetahuan. Di situlah berlakunya pemindahan teknologi dan pengetahuan serta bakal menyaksikan rakyat kita sendiri akan mengambil alih tugas itu.

“Oleh sebab itu, kerajaan juga sanggup mengeluarkan wang yang besar untuk pendidikan anak-anak kita bagi menyediakan kemudahan pendidikan setaraf antarabangsa,” jelasnya.  Abang Johari menambah, Yayasan Sarawak yang ditubuhkan pada 1970-an mempunyai aset universiti iaitu Swinburne Sarawak, Curtin Sarawak, I-Cat, Centexs dan UTS, yang membolehkan pelajar melanjutkan pelajaran di sini.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan pelajar Sarawak perlu mencari kursus yang sesuai selaras dengan pembangunan negeri.  “Jika terlalu ramai yang mengikuti kursus sains sosial, kita mungkin menghadapi situasi siswazah tidak dapat mencari pekerjaan kerana peluang dalam bidang ini kurang.

“Tetapi jika pelajar mengambil kursus yang membolehkan mereka bekerja dalam bidang seperti kejuruteraan atau keselamatan siber, Sarawak mampu melahirkan kumpulan orang yang kreatif dan inovatif,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru