Friday, August 19, 2022

Pilih bidang sesuai

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Ekspo Pendidikan Sarawak 2022 di Dewan Suarah Kota Samarahan memberi peluang kepada semua lepasan SPM khususnya luar bandar merasai sendiri pengalaman secara bersemuka untuk memilih bidang dan hala tuju ke peringkat yang lebih tinggi.

Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, inisiatif pembukaan ekspo pendidikan di semua daerah di Sarawak amat efektif demi mengelakkan isu pelajar tercicir, soal logistik, kawasan terpencil, atau sebagainya walaupun individu terbabit layak dan memiliki sijil yang bersesuaian.

Katanya, bukan mudah bagi Yayasan Sarawak dan Jabatan Pendidikan Sarawak untuk mengadakan ekspo julung kali diadakan di seluruh negeri ini, namun hasil koordinasi dan kerjasama tinggi, mereka berjaya menunjukkan kejayaan dalam menjalankan program.

Jelas beliau, inisiatif Yayasan Sarawak mempromosikan pendidikan kepada lepasan sekolah menengah penting bagi memastikan semua kategori mendapat maklumat terkini pendidikan di negeri ini.

Warga Samarahan yang menghadiri ekspo terbabit turut berpeluang menyaksikan secara langsung perasmian Ekspo Sarawak 2022 menerusi Google Meet yang dirasmikan sendiri oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Yayasan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak komited untuk kekal di landasan betul menjadi negeri maju menjelang 2030.

“Ekspo pendidikan di setiap bahagian negeri ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh generasi muda sebagai peluang untuk membimbing, mendapatkan maklumat serta akan memudahkan mereka untuk membuat sasaran pencapaian mengikut bidang yang diminati.

“Ini merupakan platform yang baik khususnya kepada generasi muda kerana mereka akan menjadi jentera penggerak dalam negeri ini.

Sudah tentu kita memerlukan tenaga kerja mahir, sekali gus sebagai pelaburan tenaga manusia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan Samarahan Sabtu.

Tambahnya, usaha Kerajaan Sarawak meningkatkan peluang pelajar ke dalam sistem pendidikan secara tidak langsung memberi peluang kepada generasi muda mengisi tenaga kerja berkemahiran di negeri ini pada masa akan datang.

“Ini untuk menentukan arah tuju pembangunan sejahtera rakyat Sarawak.

Saya yakin langkah diperkenalkan itu demi faedah kepada rakyat tempatan.

Kita mahu generasi muda sendiri mengisi kepakaran diperlukan di sini, bukan orang luar,” tegasnya. Justeru, beliau menggesa golongan muda untuk mengambil kesempatan atau peluang yang disediakan selaras dengan arus perubahan pembangunan Sarawak pada landasan yang betul dan tepat.

“Landskap ini begitu baik. Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya menyokong usaha sedemikian dan percaya dengan adanya inisiatif ini, isu keciciran pelajar tidak berlaku di kawasan kita.

“Banyak ruang dan peluang boleh menjadi landasan pelajar memastikan mereka menyumbang kepada Sarawak secara keseluruhan,” ujarnya.

Terdahulu lebih 33 pelajar cemerlang dari kawasan Kota Samarahan menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Kota Samarahan itu.

Turut diadakan, penyerahan baucar bantuan pakaian seragam sekolah kepada lapan sekolah di sekitar Samarahan yang diwakili oleh pihak sekolah masing-masing.

Ekspo Pendidikan Samarahan turut dimeriahkan dengan sesi kaunseling, sesi bimbingan, pendaftaran kemasukan ke institusi, taklimat, pameran, agihan baucar bantuan pakaian seragam sekolah dan penyerahan hadiah cemerlang SPM 2021.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru