Friday, August 19, 2022

Pelajar diajar jadi ejen pesan hantar

Secara Rawak

MUKAH: Seramai 364 pelajar Politeknik Mukah, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Mukah, Universiti Teknologi Sarawak, Kolej Komuniti Miri dan Politeknik Metro Betong menghadiri Program Usahawan Bisnes Dropship (pesan hantar) dan Ejen di Dewan Serba Guna Politeknik Mukah baru-baru ini.

Menurut Ketua Unit Keusahawanan Johari Kusai, program tersebut dianjurkan oleh Institut Keusahawanan Negara (Insken) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dengan kerjasama Unit Keusahawanan Politeknik Mukah.

Menurutnya, Insken menawarkan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan melalui program latihan dan bimbingan.

Sasaran peserta jelasnya adalah individu yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19 serta lepasan universiti yang tiada pekerjaan dan yang ingin menambah pendapatan.

“Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan pembudayaan keusahawanan dalam kalangan pelajar bagi membantu pelajar untuk menjana pendapatan sendiri dengan menjadi ejen pesan hantar kepada pengasas produk tempatan.

“Di samping itu, membantu pelajar yang baru berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan dan ingin memulakan perniagaan dengan menjadi usahawan dahulu dan memahami selok-belok alam perniagaan bagi mengurangkan risiko kegagalan,” katanya. Jelasnya lagi, program tersebut khas untuk membantu pelajar menceburi bidang keusahawanan dengan menjadi ejen pesan hantar kepada pemilik perniagaan di Malaysia.

“Pelajar diajar bagaimana menjalankan perniagaan secara pesan hantar serta memaksimumkan penggunaan media sosial. “Pelajar dibenarkan memilih produk sendiri di pasaran, seterusnya akan diselarikan terus kepada pemilik peniagaan tersebut,” tambahnya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru