Friday, August 19, 2022

Komersialkan biobahan api

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang mengkaji potensi mengkomersialkan biobahan api yang diperoleh daripada sumber lumut di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hasil kajian berhubung kegunaan lumut sebagai bahan api bio khususnya untuk industri penerbangan itu diharapkan dapat diketahui dalam tempoh enam bulan.

“Dengan teknologi yang betul, kita boleh menghasilkannya biobahan api daripada lumut sekali gus mendahului negara Arab Saudi dalam menghasilkan minyak boleh diperbaharui ini.

“Namun kita perlu menunggu hasil kajian ini terlebih dahulu sama ada bahan api daripada lumut nanti boleh dikomersilkan atau sebaliknya.

“Jika terbukti dapat dikomersialkan secara besar-besaran, kita boleh menjualnya kepada syarikat penerbangan,” katanya.

Abang Johari berkata pada Majlis Pelancaran Program Ekspo Pendidikan Sarawak 2022 di Yayasan Sarawak, di sini, Sabtu.

Menurutnya, Sarawak kini dalam usaha menubuhkan makmal penyelidikan lumut yang bukan sahaja untuk kajian bahan api tetapi juga untuk menghasilkan ubat-ubatan.

“Mungkin dalam tempoh enam bulan, kita boleh lihat apa hasil kajian ini yang turut melihat berapa banyak lumut digunakan untuk menghasilkan bahan api.

“Jika kita berdaya maju daripada segi segi pengeluaran lumut dan barulah kita boleh menentukan berapa harga yang sesuai untuk jualan pengkomersialkan,” jelasnya.

Awal bulan ini, Abang Johari berkata Sarawak mempunyai banyak sumber lumut yang boleh diekstrak untuk menghasilkan bahan api penerbangan.

Katanya, negeri ini sedang mengkaji kemungkinan untuk menanam lumut di kawasan pesisir pantai sebagai sebahagian daripadanya usaha dalam meneroka pengeluaran bahan api penerbangan mampan.

Ujarnya, karbon dioksida boleh digunakan sebagai agen pelarut untuk mengekstrak minyak daripada lumut.

Beliau turut memberitahu sebuah makmal akan ditubuhkan untuk menjalankan kajian lanjut mengenai pengeluaran lumut di negeri ini melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang akan bekerjasama dengan penyelidik untuk meneroka cara baharu menanam lumut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru