Thursday, August 18, 2022

Cadangan Rafizi bukan mengejutkan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat tindakan Rafizi Ramli yang memperlekeh cadangan parti itu agar ditubuhkan Lembaga Unggas Kebangsaan bukanlah perkara yang mengejutkan.

Malah tegas beliau menerusi Facebooknya, rakyat tentunya masih belum melupakan bagaimana segala ‘formula’ Rafizi termasuklah segala macam kaedah kononnya untuk menguruskan kewangan negara.

“Rafizi Ramli memperlekehkan cadangan UMNO untuk menubuhkan Lembaga Unggas Kebangsaan bagi menangani kos sara hidup dan masalah sekuriti makanan negara. https://www.malaysiakini.com/news/626054

“Beliau katakan cadangan tersebut akan membazir wang rakyat dan menambah lagi karenah birokrasi. Tapi beliau sendiri pula mencadangkan untuk mewujudkan satu badan bebas untuk menguruskan risiko gangguan bekalan makanan. Tidakkah itu akan menambah lagi birokrasi dan sedikit sebanyak menggunakan wang rakyat?

“Ini bukan kali pertama Rafizi Ramli memberikan cadangan atau kritikan yang self contradictory. Kita semua masih ingat siapa Rafizi Ramli dan bermacam-macam dakyah penipuan yang ditaburkan kepada rakyat Malaysia sejak PRU-13 lagi melalui kempen “Bina Semula Negara” beliau,” katanya.

Ahmad Zahid seterusnya menyorot kembali bagaimana segala perkara dan segala yang dijanjikan sebelum pilihan raya umum yang lalu.

“Siapa lagi masih ingat? Bermacam-macam formula untuk tol percuma, pendidikan percuma dan segala macam kaedah untuk kononnya mengurus kewangan negara dengan lebih baik. Tetapi apabila Pakatan Harapan menjadi Kerajaan, semuanya hanya tinggal janji. Kata mereka hutang tetap hutang, dan manifesto bukan kitab suci.

“Tak seperti UMNO. Terutama sekali dalam isu isu sekuriti makanan, kita sentiasa konsisten. Seperti yang saya cadangkan sebelum ini, perlu ada koordinasi rentas kementerian melalui pengaktifan semula Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan melaksanakan pakej-pakej bantuan yang bersasar berteraskan data terkini kepada golongan memerlukan. https://www.facebook.com/zahidhamidi.fanpage/posts/543735797123673,” tambahnya.

Tambahnya lagi rakyat memerlukan solusi dan bukannya sekadar mainan persepsi kerana akhirnya rakyat yang akan menerima kesannya kelak.

“Saya berpendapat, melalui platform Majlis Tindakan tersebut, pelbagai cadangan dan pandangan, terutama sekali daripada pakar (bukan pakar formula seperti Rafizi Ramli) dan pemain industri bagi memastikan setiap keputusan Kerajaan, sama ada berkenaan harga makanan, harga utiliti dan lain-lain haruslah bertujuan untuk sentiasa mengawal dan merendahkan kos sara hidup rakyat.

“Termasuklah juga cadangan penubuhan Lembaga Unggas Kebangsaan yang perlu diteliti NACCOL untuk memastikan harga ayam sentiasa di tahap yang munasabah. Rakyat perlukan solusi kepada permasalahan mereka. Rakyat tidak kisah tentang formula. Terutama sekali formula daripada Rafizi Ramli bersama PH sendiri  tumbang selepas  22 bulan,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru