Thursday, August 18, 2022

Dr Jeniri Amir menang Anugerah Khas MPI- Petronas

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Dinobatkan penerima Anugerah Khas Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2022 merupakan satu kejutan besar buat dirinya.

Felow Kanan Majlis Profesor Negara Dr Jeniri Amir mengakui, ia satu kejutan kerana beliau tidak dimaklumkan mengenainya tetapi terbang ke ibu kota bagi memenuhi jemputan majlis yang berprestij itu.

“Bagaimanapun, apabila biodata penerima dibacakan ia memberi bayangan seolah-olah ciri-ciri yang disebut itu membayangkan diri saya. Terima kasih MPI-Petronas kerana memberikan pengiktirafan ini.

“Ia merupakan satu kejutan buat diri saya. Anugerah ini bukan sahaja memberi makna besar kepada saya tetapi juga kepada Sarawak kerana kali pertama pemain industri media Sarawak menerima anugerah seperti ini.

“Justeru, Anugerah Khas ini juga bukan sahaja akan menyemarakkan semangat saya untuk terus menyumbang dalam dunia media dan kewartawanan.

“Tetapi saya berharap anugerah ini dapat memberi motivasi kepada wartawan termasuk pengamal media muda lain di Malaysia khususnya di Sarawak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain menjadi Ketua Eksekutif SV News Sdn Bhd bagi dua akhbar tempatan popular di negeri ini, Suara Sarawak dan News Sarawak Tribune, beliau juga merupakan pengasas portal Sarawak Voice.

Menulis lebih 3,000 artikel dan lebih 50 buku, Dr Jeniri juga Penasihat Program Komunikasi bagi Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak selain lantikan sebagai Ahli Pemikir Kementerian Perpaduan.

Sehingga hari ini, Dr Jeniri menjadi penganalisis politik yang menjadi buruan stesen televisyen dan media arus perdana bagi mengulas mengenai landskap terkini politik negara.

Dr Jeniri yang juga Profesor Adjung Unimas itu menambah, sebagai wartawan atau pengamal media perkara penting yang perlu dibudayakan adalah komitmen, kesungguhan untuk terus menyumbang berita, penulisan, laporan dan analisis kepada media tempat bertugas.

“Pada masa sama, wartawan juga perlu memperhebatkan keterampilan, kemahiran, ilmu dan pengalaman untuk memastikan golongan muda terus relevan apa lagi ketika berhadapan pelbagai cabaran ketika ini khususnya media sosial.

Beliau juga bersyukur kerana menerima anugerah tersebut sekali gus membuktikan minatnya dalam dunia penulisan sejak tahun pertama menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1977.

“Sejak itu juga saya sudah mempunyai kolum sendiri dan menulis untuk akhbar serta majalah selama 45 tahun tanpa henti.

Saya juga membaca tanpa henti, pada masa yang sama saya juga melatih sejumlah wartawan di Malaysia dari pelbagai agensi.

“Nasihat saya kepada wartawan, jangan mengalah dan terus memperbaiki tulisan dengan banyak membaca dan menulis. Tiada hari tanpa menulis, tiada hari tanpa membaca, pasti anda akan berjaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr Chamil Wariya ketika dihubungi berkata, Anugerah Khas itu diberikan kepada wartawan terkemuka yang menyumbang bakti besar dalam industri kewartawanan.

“Dr Jeniri sejak belajar di USM, sudah mempunyai kolum di akhbar Pulau Pinang dan apabila tamat pengajian, beliau banyak menghasilkan artikel dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, dan menyertai media tempatan Utusan Sarawak sebagai Editor Eksekutif dari 1994 hingga 1998.

“Beliau memberi sumbangan besar dalam mendidik bakal wartawan apabila menjadi pensyarah di Unimas. Malah kini menerajui New Sarawak Tribune dan Suara Sarawak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

“Ini menunjukkan sejak belajar hingga sekarang, beliau tidak pernah berhenti dengan kerja atau aktiviti kewartawanan sama ada di agensi berita mahupun sebagai pensyarah. “Sebab itu, beliau layak dipilih menerima anugerah khas tersebut,” tegasnya.

Selain Dr Jeniri, turut menerima anugerah yang sama ialah Penasihat Kumpulan The Star Datuk Seri Wong Chun Wai. Malam Wartawan Malaysia merupakan program tahunan anjuran MPI sejak 16 September 1981 iaitu 42 tahun lalu.

Bagi tahun ini, MPI itu menerima sumbangan bernilai RM394,500 secara keseluruhannya, selain RM300,000 tajaan Petronas selaku penaja utama sejak 1994. Sebanyak 43 pertubuhan berita mengemukakan penyertaan masing-masing mewakili Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Secara keseluruhannya, pihak urus setia menerima 350 penyertaan bagi 2021. Seperti sebelum ini, edisi kali ini juga berlangsung serentak dengan Malam Wartawan Malaysia, menyaksikan 15 kategori dipertandingkan, termasuk dua anugerah khas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru