Thursday, August 18, 2022

Usahawan Dayak perlu banyak pendedahan rebut peluang ekonomi, perniagaan

Secara Rawak

KUCHING: Masyarakat Dayak perlukan banyak pendedahan dan peluang terlibat dengan ekonomi dan perniagaan.

Mereka juga perlukan asas modal mencukupi untuk usaha perniagaan yang besar.

“Saya mungkin silap, tetapi beberapa ahli komuniti perniagaan Dayak kami masih belum sampai ke BSKL atau SGX,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala.

Berucap pada Majlis Perasmian Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Gerawat berkata, melalui Projek Pan Borneo misalnya usahawan Dayak mempunyai harapan menyertai projek tertentu berdasarkan dasar kerajaan memperuntukkan 30 peratus daripada nilai kontrak kepada perniagaan Bumiputera Sarawak.

Gerawat berkata, beliau menyerahkan kepada Dewan Perniagaan Dayak membuat kajian dan cadangan bagi strategi menjamin peluang masa hadapan masyarakat Dayak memperoleh peluang pruntukan berkenaan.

Menyentuh berkaitan komoditi minyak dan gas, Gerawat menambah sokongan penuh diberikan atas usaha Premier Sarawak yang memastikan penyertaan negeri dalam komoditi itu.

Ini juga termasuk cukai jualan 5 peratus atas penjualan produk petroleum dan pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial antara Petros dengan Petronas.

“Ini membawa harapan tinggi kepada komuniti perniagaan Dayak terutama mereka yang telah lama dalam industri minyak dan gas untuk meningkat dan mengukuhkan penyertaan mereka dalam perniagaan sektor ini melalui perkongsian strategik dengan agensi kerajaan negeri atau GLC, malah pemain minyak dan gas antarabangsa,” kata Gerawat.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru