Thursday, August 18, 2022

Sarawak dapat lebih banyak hasil SST tahun ini

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak dijangka bakal menerima lebih banyak kutipan menerusi Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum tahun ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut susulan kenaikan harga minyak dunia ketika ini.

“Sarawak mempunyai hasil ‘tuaian’ yang banyak selepas kita mengenakan SST ke atas produk minyak dan gas.

“Hanya dalam tempoh tiga tahun kita telah berjaya mengutip RM8.5 bilion daripada produk petroleum di negeri ini, dan berharap agar kutipan tahun ini meningkat susulan kenaikan harga minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.

Tambah Abang Johari, rakyat perlu sentiasa berdoa untuk kesejahteraan negeri ini khususnya dalam isu kewangan dan beliau berasa akan ada satu lagi ‘Gawai’ pada hujung tahun ini.

Menurutnya, perkara tersebut merujuk kepada hasil kutipan SST kerana ia sama seperti perayaan Hari Gawai yang merupakan tanda kesyukuran untuk hasil tuaian yang melimpah ruah.

“Selepas semua kerja keras yang kita lakukan hasilnya dapat dinikmati dan konsep ini sangat dekat dengan saya supaya rakyat Sarawak akan menuai apa sahaja yang kita perolehi untuk manfaat semua,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru