Thursday, August 18, 2022

Rentas hutan, jalan tanah

Secara Rawak

BARAM: Sesuai dengan nama program sukan merentas desa, pasti lokasi terutamanya di kawasan pedalaman yang dikelilingi hutan serta jalan tanah yang mencabar menjadikan sukan ini cukup mengujakan peserta larian.

Sehubungan itu, baru-baru ini seramai 52 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Long Moh di kawasan pedalaman Baram menyertai Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah.

Larian itu melibatkan laluan sepanjang tiga kilometer di sekitar kawasan hutan di kawasan Long Moh dengan jalan penuh berliku yang perlu dilalui oleh peserta.

Menurut guru penyelaras, Ariffine John, peserta yang terlibat terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan tahun satu hingga enam. Katanya, ia merupakan acara tahunan yang diadakan semula oleh pihak sekolah setelah sekian lama tidak dianjurkan ekoran penularan Covid-19.

“Matlamat program adalah untuk melibatkan penyertaan aktif pelajar sekolah dalam aktiviti sukan dan memupuk budaya sukan dalam kalangan pelajar bagi menjadikan sukan sebagai salah satu amalan gaya hidup sihat.

“Kejohanan ini juga menawarkan hadiah kepada 15 peserta terawal yang berjaya menamatkan larian. Selain itu, markah juga dikumpul berdasarkan rumah sukan bagi juara keseluruhan Kejohanan Sukan Tara kelak,” katanya kepada Suara Sarawak.

Pihak urus setia Kenneth Asang pula berkata, kejohanan merentas desa memang dinantinantikan oleh warga sekolah dan murid-murid kerana aktiviti sukan itu menguji ketahanan badan kerana ia merupakan sukan lasak tambahan pula laluan larian sekitar sekolah yang agak mencabar.

“Sukan ini memberi pendedahan kepada pelajar selain mencungkil bakat sukan pelajar, termasuk dapat menyemarakkan semangat persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar serta menyajikan pemandangan yang indah sepanjang laluan larian di Kampung Long Moh.

“Para pelajar bukan sahaja dapat mencapai kecemerlangan dalam bidang ini, malah dapat menimba pelbagai variasi pengalaman seperti pembangunan sosial, kepimpinan dalam membantu guru mengurus sesebuah majlis serta dapat mendisiplinkan diri pelajar,” ujarnya lagi.

Difahamkan juga Sukan Tara adalah satu kejohanan sukan dengan setiap pelajar diberi peluang untuk menyumbang mata atau markah untuk rumah sukan masing-masing.

Sukan Tara SK Long Moh ini biasanya diadakan selepas aktiviti merentas desa dan sebelum Hari Sukan Tahunan. Bagi Kejohanan Merentas Desa Peringkat sekolah berkenaan, lima pelajar yang terpilih ialah Julien Ajeng, 9, Hezron Bayak, 10, Eliezer Tagang 10, Caroline Eno, 11, dan Sivanesan Pillay, 11.

Bagi peringkat daerah pula, mereka akan bertanding di Pesta Sukan Majlis Sukan Sekolahsekolah Rendah (MSSR) Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Baram yang dijadual diadakan pada 4 hingga 6 Julai depan.

ANTARA jalan yang perlu dilalui peserta sepanjang merentas desa.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru