Friday, August 19, 2022

Remaja mengaku salah rompak kedai

Secara Rawak

KUCHING: Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di hadapan Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana merompak sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Sentah Segu, Siburan, awal Jun lepas.

Tertuduh berusia 18 tahun membuat pengakuan itu selepas satu pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.

Bagaimanapun, Dayang Ellyn menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi laporan sosial pada 1 Ogos depan, memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda. Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilanjutkan reman sehingga tarikh sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak sejumlah wang tunai, puting susu bayi silikon, pemetik api, dan sekotak air minuman satu liter.

Dia melakukan perbuatan itu terhadap seorang pekerja berusia 25 tahun di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Sentah Segu, Siburan, di sini, kira-kira jam 3.40 pagi, 1 Jun lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh dipercayai melakukan perbuatan itu kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfazlin Mahmad Zulhasnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru