Thursday, August 18, 2022

Perlu 1,200 jurutera anak S’wak operasikan dua loji gas hidrogen sulfida – Abang Johari

Secara Rawak

PETRA JAYA: Sarawak perlu melatih lebih ramai anak tempatan dalam pendidikan sesuai dengan keperluan industri semasa.

Setakat ini, ekonomi Sarawak berkembang lancar dengan masuknya banyak pelabur asing, namun masih bergantung dengan tenaga mahir luar.

Melihat kepada keperluan bagi tenaga jurutera tempatan, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, berdasarkan pemerhatian beliau melalui kerjasama Petronas dengan syarikat Thailand membangunkan gas hidrogen sulfida (H2S), sekitar 600 jurutera kimia diperlukan bagi pengoperasian satu loji berkenaan.

Mengambil kira Shell juga mahu membangunkan sebuah loji gas, ini bermakna Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 1,200 jurutera berkaitan bidang ini.

Berucap merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak di Yayasan Sarawak, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak meluluskan pengeluaran visa kerja lima tahun kepada pakar asing supaya mereka boleh tinggal lebih lama dan bertanggungjawab melatih rakyat warga tempatan.

Berkaitan pendidikan di Sarawak, beliau berkata, Kerajaan Negeri menubuhkan beberapa prasarana pendidikan daripada peringkat sekolah rendah, menengah hingga ke pengajian tinggi.

Bahkan, melalui yasan Sarawak, kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan termasuk pinjaman biasiswa kepada pelajar.

Memberi peluang seluas-luasnya kepada anak negeri menguasai ilmu pendidikan, beberapa universiti bertaraf antarabangsa membuka cawangan di Sarawak seperti Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS.

Sarawak turut mempunyai Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) bagi melatih anak-anak Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru