Thursday, August 18, 2022

Komited bantu sekolah

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan komited memberi bantuan kepada pihak sekolah melalui prinsip pembangunan dan kepelbagaian pendidikan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, lebih RM9 juta telah disalurkan kepada pelbagai sekolah di kawasan Batu Kawa sejak 2016 sehingga kini.

“Antara sekolah yang mendapat manfaat termasuk Sekolah jenis Kebangsaan Cina (SJKC), sekolah persendirian dan sekolah menengah Cina.

“Sejak 2016, lebih daripada RM9 juta pembiayaan negeri dan persekutuan berjaya diperjuangkan untuk 16 sekolah termasuk satu SMK, satu sekolah swasta, sembilan SJKC, empat SK dan satu SJK di Batu Kawa,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik ke dalam laman rasmi Facebook miliknya.

Beliau turut meluahkan rasa syukur setelah berjaya mendapatkan semula tanah untuk kerja pemindahan sekolah SK Rantau Panjang atas bantuan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurutnya, pembinaan tersebut dijangka bermula bulan ini dengan mengaplikasikan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa beberapa geran turut diserahkan kepada sekolah dalam kawasan pilihan raya susulan pembukaan semula sekolah untuk menyambung kelas secara fizikal.

“Geran pendidikan untuk separuh tahun pertama diserahkan agar dapat memudahkan sekolah menggunakan dana yang berkaitan untuk membeli bahan yang diperlukan atau menganjurkan aktiviti,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak sangat mementingkan pembangunan pendidikan dalam semua bentuk. Justeru, beliau menegaskan bahawa pelbagai aliran di sekolah akan terus dibantu agar pendidikan dapat terus berkembang dan menyinar di Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru