Thursday, August 18, 2022

Jumlah pelancong meningkat

Secara Rawak

SIBU: Kemasukan pelancongan ke negeri ini telah menunjukkan peningkatan yang drastik, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Hamzah.

Menurut beliau, peningkatan itu menyumbang kepada kemasukan pelancong dari luar negara termasuk dari Semenanjung dan Sabah yang amat drastik ke Sarawak.

Ketibaan pengunjung ke Sarawak dari Januari hingga Mei bagi tahun 2022 ialah 439,150 orang berbanding 2021 iaitu 56,270 orang, jelasnya.

“Terdapat lonjakan sebanyak 650 peratus dari Januari hingga Mei tahun ini dan tahun lepas.

“Jadi anda boleh melihat keadaan mula kembali normal. Bagi warga asing pada 2021 Januari hingga Mei, kita berjaya membawa masuk hanya 9,108 orang tetapi dari Januari hingga Mei tahun ini 43,404 orang.

Terdapat lonjakan sebanyak 376 peratus. “Bagi ketibaan pelancong dari Semenanjung dan Sabah yang masuk ke Sarawak, melalui penerbangan tahun lepas ialah 47,170 orang, tahun ini 395,746 jadi lonjakannya ialah sebanyak 738 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Pelancaran Persidangan Pertukaran Muzik Etnik Borneo @ Festival Muzik Tribal Borneo 1.0” di sini, semalam.

Rentetan itu, dedahnya lagi, nilai resit pelancongan Sarawak juga turut meningkat secara drastik dari Januari hingga Mei berbanding tahun lepas bagi tempoh yang sama.

“Dari segi resit pelancongan bagi 2021, resit pelancongan dari Januari hingga Mei adalah RM130 juta tetapi untuk 2022 dari Januari hingga Mei adalah RM1.001 bilion.

Jadi saya percaya semua rakyat boleh merasainya. Hotel, restoran, orang ramai telah masuk. itu bermakna keadaan kembali normal dan pulih,” jelasnya.

Rentetan itu, Abdul Karim menggalakkan lebih banyak program dan acara dianjurkan di Sarawak bagi menarik minat lebih ramai pelancong datang ke negeri ini.

Dengan penganjuran BTMF ini, ujar beliau, ia bukan sahaja memanfaatkan kemasukan pelancong ke Sarawak malah memacu ekonomi penduduk tempatan.

Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Hii Chang Kee dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru