Thursday, August 18, 2022

Jadi wartawan serba boleh

Secara Rawak

KUCHING: Wartawan hari ini dituntut supaya bersedia memperkasakan diri dengan kepelbagaian kemahiran baharu dan pantas dalam menyalurkan berita namun kekal terikat dengan etika kewartawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Datuk Dr. Chamil Wariya berkata, ini kerana lebih empat dekad ekosistem dan landskap media dan kewartawanan mengalami perubahan yang amat pesat.

“Wartawan perlu menyesuaikan diri dengan teknologi Internet dan elemen kecerdasan bikinan, robotik, analisis data raya, kecerdasan buatan (IoT), realiti maya dan era Revolusi Industri 4.0,” katanya pada Malam Wartawan Malaysia Ke-41 2022 di Kuala Lumpur, malam tadı.

Kata Chamil, wartawan masa kini juga perlukan kepantasan menyalurkan berita seiring fakta sahih dan tepat dalam mengekang penyebaran berita palsu.

“Namun cabarannya apabila menggunakan pelbagai teknologi digital dalam pengumpulan dan penyebaran maklumat mengikut kitaran 24 jam sehari dan 365 hari setahun.

“Inilah cabaran utama yang perlu didepani kelompok wartawan profesional hari ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2022 juga mengucapkan teriam kasih kepada MPI kerana menjadi penyumbang kekal majlis berprestij itu. “Penajaan dan sumbangan membolehkan MPI meneruskan fungsinya untuk mengiktraf karya terbaik kewartawanan Malaysia – di alam nyata dan alam maya,” katanya.

Katanya, malam pengiktirafan itu juga merupakan satu produk yang mendapat sokongan memberangsangkan dalam kalangan warga korporat dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri.

“Namun tersirat di balik pengiktrafan ini adalah peranan untuk sama-sama mengiktiraf karya cemerlang yang telah dihasilkan oleh wartawan setiap tahun,” katanya.

Majlis itu memberi pengiktirafan dalam kalangan wartawan yang menghasikan karya kewartawanan pelbagai genre sepanjang 2021.

Pengiktirafan itu diperkenalkan pada 1980 dan hadiah kepada pemenang disampaikan pada Malam Wartawan pada 1981 dan malam tadı merupakan sambutannya yang ke-41.

Petronas merupakan penaja utama sejak 1994 dengan nilai tajaan hadiah tahunan bernilai RM300,000 setahun.

Hadir sama Naib Presiden Eksekutif Petronas Datuk Sazali Hamzah mewakili presiden juga Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Tengku Muhammad Taufik dan tetamu kehormat Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

Sebanyak 350 penyertaan diterima bagi tahun lalu berbanding 228 penyertaan pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 35 peratus.

Peningkatan itu juga membuktikan kesediaan pengamal media untuk berdaya saing secara sihat dengan mempertaruhkan penulisan dan laporan sepanjang 2021.

Lebih membanggakan MPI, penyertaan tahun ini tidak lagi dikuasai dan dimonopoli media legasi atau tradisional tetapi disaingi media di alam maya yang memberi gambaran landskap baharu media dan kewartawanan di negara ini.

Bagi 2021, sebanyak 10 organisasi berita yang berstatus portal, yang tidak mempunyai edisi cetak mengambil bahagian. Antaranya: The Vibes, the Malaysian Insight, TVS, Malaysia Post, Malaysiakini, KiniTV, mstar, Macaranga, Astro Awani dan Getaran.

Dalam menentukan pemenang, MPI menyerahkan sepenuhnya kepada sebuah panel hakim yang bebas, terdiri daripada para wartawan veteran yang tidak lagi terikat dengan mana-mana organisasi berita juga ahli akademik dalam bidang kewartawanan di beberapa IPT awam dan swasta

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru