Friday, August 19, 2022

Bantuan pertanian ikut prestasi pengeluaran

Secara Rawak

KUCHING: Salurkan bantuan dan insentif kepada petani dan nelayan berdasarkan prestasi pengeluaran hasil produk, kata Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah itu berkata, melalui pemberian tersebut, ia dapat menjadi motivasi kepada mereka untuk terus mengeluarkan hasil yang tinggi.

“Kita perlu beralih keapda pemberian insentif berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh para petani.

“Semakin banyak hasil yang dikeluarkan, lebih baik insentif yang akan disalurkan kepada mereka. Ini sudah pasti akan memberi galakkan kepada mereka untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan program Agroinvest Sarawak 2022 di Hotel Pullman, di sini, semalam.

Tambahnya, petani dan nelayan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada pemberian subsidi sahaja. “Jika meneruskan pemberian subsidi, kita tidak akan mampu bergerak jauh ke hadapan.

“Justeru, kita akan memerlukan maklum balas daripada mereka berkaitan apa yang mereka perlukan, kemudian kita akan usahakan untuk memberinya,” katanya.

Sementara, beliau turut memuji usaha Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dalam mengadakan program bagi mempromosikan pengkomersialan teknologi iaitu Agroinvest Sarawak.

Jelasnya, aspirasi negeri Sarawak supaya sektor pertanian dipacu oleh teknologi mampan yang akan memastikan sekuriti dan keselamatan makanan, mencipta kekayaan untuk komuniti asas tani serta menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan bersih menjelang 2030.

“Dengan sokongan dan kerjasama bersama-sama pihak Mardi dalam sektor pertanian dan industri makanan, diharap sasaran ini dapat dicapai demi kepentingan semua,” ringkasnya.

Dalam pada itu, Rundi turut menekankan agar inisiatif mekanisasi ladang dan automasi dilaksanakan untuk membolehkan produktiviti yang lebih tinggi bagi pengeluaran benih padi yang berkualiti.

Katanya, bekalan dan stok beras di Sarawak perlu dikekalkan. Hal ini kerana pengeluaran beras semasa hanya mamapu menampung 38 peratus daripada keperluan beras di negeri.

“Justeru, langkah tersebut penting kerana dapat membantu mencapai tahap sara diri beras pada kadar 60 peratus menjelang tahun 2030,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru