Thursday, August 18, 2022

12 selamat, bot hampir tenggelam di perairan Pulau Satang

Secara Rawak

SELAMAT…Seramai 10 pemancing bersama tekong dan kru selamat tiba di Jeti Sarawak Boat Club pada jam 1.40 pagi dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

KUCHING: Seramai 10 pemancing bersama seorang tekong dan kru berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka hampir tenggelam pada kedudukan 14 batu nautika Barat Laut Pulau Satang.

Bot tersebut keluar ke laut kira-kira jam 1 petang semalam dari Jeti Sarawak Boat Club menuju ke kawasan perairan Lundu.

Pengarah Maritim Sarawak Laksaman Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching menerima panggilan kira-kira jam 7.20 malam berhubung bot pancing berpendaftaran QKH9858Z mengalami kebocoran berdekatan perairan kawasan tersebut.

Katanya, menurut tekong, cuaca di lokasi memancing berubah dengan ketinggian ombak mencapai tiga meter menyebabkan bot telah dibadai cuaca buruk dan laut bergelora.

“Bot mengalami kebocoran pada bahagian bawah sebelah kanan dan punca kebocoran tidak dapat dipastikan.

“Tekong mengawal kebocoran dengan menggunakan kain dan span tilam untuk menampal bahagian bot yang bocor dan membuat panggilan kecemasan untuk memohon bantuan dengan menggunakan radio VHF,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zin Azman berkata, MRSC Kuching telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada jam 8 malam dan mengatur gerak bot KILAT 22 ke lokasi kejadian serta memaklumkan kepada agensi lain.

Katanya, Pasukan Polis Marin turut mengatur gerak dua aset iaitu PSC 11 dan RH23 ke lokasi kejadian kira-kira jam 9.20 malam.

Menurutnya, keadaan cuaca yang berangin dengan kelajuan 10 hingga 20 kilometer sejam serta keadaan laut bergelora menyukarkan pencarian.

“Sekitar jam 12.20 malam, MRSC Kuching berjaya menghubungi tekong melalui radio VHF dan dimaklumkan bot telah selamat serta sedang menuju ke Jeti Sarawak Boat Club diiringi oleh bot PSC 11 dan RH23,” katanya.

Katanya, bot pertama yang tiba untuk memberi bantuan adalah bot tempatan dari Samariang.

Jelasnya, bot serta 12 mangsa selamat tiba di Jeti Sarawak Boat Club pada jam 1.40 pagi tadi dan semua mangsa dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil pemeriksaan peralatan keselamatan mendapati bot memiliki 14 jaket keselamatan dan empat pelampung keselamatan pada bot,” katanya.

Tambahnya, operasi ditamatkan pada jam 1.40 pagi setelah semua mangsa dilaporkan selamat.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru