Thursday, August 18, 2022

Tujuh nelayan asing mengaku bersalah, curi di pelantar minyak

Secara Rawak

BINTULU: Tujuh warga asing mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh dan mencuri di pelantar minyak tidak berpenghuni (unmanned platform) di perairan Bintulu semasa sesi pendakwaan kes di Mahkamah Bintulu, pada Selasa lalu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kes tersebut berkaitan tangkapan Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu terhadap aduan pencerobohan pelantar yang telah merosakkan peralatan serta mencuri barangan di pelantar minyak tidak berpenghuni (unmanned platform) di perairan Bintulu pada 19 Mei lalu.

Menurut beliau, kesemua tertuduh telah dituduh dengan tiga pertuduhan dengan dua pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan di bawah Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, kedua-dua pertuduhan dibuat di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Bintulu pada hari yang sama.

“Semasa pendakwaan dilakukan, kesemua tertuduh mengaku salah atas ketiga-ketiga pertuduhan dan telah dijatuhkan hukuman penjara 16 bulan bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, manakala sembilan bulan penjara di bawah Akta Perikanan 1985 serta bot dilucuthak kepada kerajaan Malaysia,”katanya.

Mohd Khairol menegaskan Maritim Malaysia memandang serius terhadap aktiviti jenayah dan pencerobohan ini yang berpotensi mengesankan hasil negara.

Beliau berharap hukuman ini akan memberi peringatan kepada individu atau kumpulan dari dalam negara mahupun luar negara, bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi akan kesalahan yang boleh menjejaskan kedaulatan dan kemakmuran negara, khususnya perairan negara Malaysia, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap keselamatan perairan negara.

“Maritim Malaysia percaya dengan tertangkap dan terhukumnya semua tertuduh, aduan dan laporan berkaitan pencerobohan dan kecurian di pelantar yang tidak berpenghuni di perairan Sarawak selesai,”ujarnya.

Pada masa sama, Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kerima kasih kepada pihak agensi yang terlibat dalam membantu sepanjang proses siasatan dan pendakwaan yang membawa kepada kejayaan ini.

Maritim Malaysia bersama beberapa agensi keselamatan laut lain sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan undang-undang di zon maritim perairan negara ini bagi memastikan keselamatan kapal, bot serta kawasan pelantar yang berada di perairan negara terjamin dari sebarang ancaman.

Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut serta mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim bagi melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kecemasan di laut melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru