Thursday, August 18, 2022

Tubuh Persatuan Wartawan Malaysia – Johan Jaaffar

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sesuai dengan Resolusi Hawana 2022, perlu ditubuhkan Persatuan Wartawan Malaysia sesuai dengan ikrar mendayausahakan persatuan yang dapat menggabungkan semua para wartawan agar menjadi suara padu dan lantang.

Ini juga demi memperkukuh kesetiakawanan dan memadu matlamat yang sama, demi memberikan digniti dan uniti pada profesion kewartawanan.

“Kitalah yang boleh menjaga sesama kita. Aspirasi kita. Komitmen kita. Nama baik kita. Kebajikan kita. Kita jaga kita,” ujar Tokoh Wartawan Negara Ke-12, Tan Sri Johan Jaaffar semasa berucap sebagai tetamu kehormat pada Malam Wartawan Malaysia dan Malam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2022, Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada Jumaat malam.

Johan yang menganggap diri beliau ‘mewakili kelompok senior dalam profesion yang masih berbaki’ berkata, “kita tidak boleh mengharapkan orang lain menjaga kita. Dunia politik ada kalanya tidak berlaku adil pada wartawan.”

Beliau menyebut, salah seorang tahanan ISA paling lama di negara ini seorang wartawan iaitu Said Zahari, dan banyak wartawan telah ditahan di bawah ISA dengan banyak pula pimpinan wartawan yang hilang pekerjaan.

Mengingatkan agar wartawan bermuafakat dan prihatin dengan wartawan lain di seluruh dunia, bagi beliau wartawan masih menerima tekanan, malah dalam beberapa kes diperlakukan secara kejam, dengan pada 2021 sebanyak 46 wartawan terbunuh di seluruh dunia.

“Pada tahun 2018 jumlahnya 87 orang (dibunuh). Apakah wartawan berasa serik? Tidak! Malah krisis menyemarakkan kita, memberikan nyawa baharu bagi kita,” kata beliau menambah, wartawan perlu terus berani menyatakan pendirian dan membuat teguran walaupun sepahit mana.

Johan turut mengingatkan pentingnya persefahaman yang terbentuk dalam Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami).

Beliau turut menyeru agar menyokong cadangan Perdana Menteri, perlunya meluaskan gagasan Iswami ke negara serantau.

Bagi beliau, wajar semua waratwan menyokong teman-teman dalam persaudaraan wartawan tanpa sempadan walau di mana mereka bertugas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru