Friday, August 19, 2022

Lapor tindakan tidak berintegriti

Secara Rawak

KAPIT: Kerjasama masyarakat menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi melaporkan tindakan tidak berintegriti penting dalam usaha melahirkan masyarakat yang berintegriti.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dr Juanda Jaya berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Program Jelajah Integriti Siri Lima 2022 Bahagian Kapit di Dewan Masyarakat Melayu, Kampung Muhibbah di sini.

Katanya, Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (Union) memberi ruang kepada orang awam untuk mengemukakan aduan jika mendapati berlaku salah laku yang tidak berintegriti.

Beliau menekankan kepentingan aduan dibuat menggunakan saluran yang betul dengan maklumat yang lengkap bagi memastikan aduan dapat diselesaikan dengan segera dan pengadu tidak perlu bimbang kerana identiti mereka tidak akan didedahkan.

Untuk rekod, Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai kementerian khusus berkaitan integriti dan ombudsman.

Siri jelajah sebelum ini turut diadakan di Tebedu, Mukah, Sarikei, Betong serta dijadual dilaksanakan di Limbang dan Lawas. Antara pengisian program jelajah kali ini adalah pameran mini dan ceramah integriti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan sesi Randau Ombudsman.

Sementara itu, salah seorang kakitangan awam, Mina Lawai, 41, yang juga peserta program tersebut memberitahu, program itu wajar diteruskan dari semasa ke semasa kerana maklumat berkaitan salah laku dan saluran aduan yang betul perlu disampaikan kepada semua golongan masyarakat.

Di peringkat bahagian Kapit pula, selain dilaksanakan di daerah Kapit, program yang sama turut akan diadakan di Balai Raya Song pada 24 Jun.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Jefferson Jamit Unyat, wakil Pengarah Unit Intergriti dan Ombudsman Sarawak, Paul Murphy Ningkan turut hadir. – Japen

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru