Thursday, August 18, 2022

Johan Jaaffar: Bentuk gagasan media masa depan, agenda utama wartawan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sampai masanya perbincangan tentang gagasan media masa depan menjadi agenda utama dalam kalangan wartawan di Malaysia.

Mendepani persaingan dengan media sosial yang sifatnya segera, terkini dan tanpa kawalan, Tokoh Wartawan Negara Ke-12, Tan Sri Johan Jaaffar mengaitkan persoalan ini dengan masalah yang dihadapi industri media hari ini.

“Kita faham krisis semasa bagi syarikat media untuk terus bernafas, kita sedar model niaga… harus difikirkan semula dan kita maklum perolehan syarikat gergasi teknologi menjejaskan pendapatan syarikat media,” ujar beliau.

Berucap sebagai tetamu kehormat pada Malam Wartawan Malaysia dan Malam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2022, Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada Jumaat malam, Johan mengingatkan wartawan agar sedar dengan keperluan untuk melihat semula pendekatan bekerja serta pembangunan modal insan melibatkan wartawan.

Bagi Johan, Resolusi Hawana sebelum ini percaya bahawa media arus perdana harus hidup seiring dengan media sosial, namun menurut beliau lagi, ”kita juga menyedari tuntutan atas kebenaran atau truth dalam konteks media arus perdana tidak boleh dikompromi.”

“Malam ini kita mahu melihat ke hadapan, mudah-mudahan dengan penuh keyakinan. Dalam konteks Revolusi Internet orang mula bercakap tentang “kerajaan masa hadapan” (the government of the future), juga masa depan pentadbiran awam (the future of public service).
“Mahu tidak mahu kita juga perlu bercakap tentang media masa hadapan (media of the future),” kata Johan.

Johan turut menyifatkan istilah “media legasi” dilabelkan kepada media arus perdana atau label “media lama” yang wujud sebelum era maklumat, tidak tepat dan berunsurkan sinisme.

Justeru, ujarnya lagi, “yang lebih penting ialah kita sendiri. Kita harus mencipta diri kita semula (reinvent ourselves) dalam senario hari ini untuk kita terus relevan. Label tidak penting. Kita sedar ekosistem baharu yang mendominasi.

“Selagi para wartawan berpegang pada prinsip etika dan prinsip kewartawanan yang sebenar, masih ada esok untuk kita, untuk profesion kita dan dunia niaga yang berteraskan media,” tegas Johan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru