Thursday, August 18, 2022

Jaga kesihatan mental belia, remaja

Secara Rawak

KUCHING: Inisiatif yang dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dalam melaksanakan Program Kesihatan Mental Belia menerusi Rakan Muda Comfort Room sedikit banyak memberi impak positif kepada pembangunan belia khususnya berkaitan isu kesihatan mental.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu menegaskan, pelaksanaan program ini juga dilihat dapat memberi sokongan moral secara bersama kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjayakan aspirasi sembilan Dasar Kesihatan Mental Negara untuk membangunkan komuniti negara yang seimbang dalam aspek kesihatan.

Tegas beliau, Sarawak bertuah apabila terpilih antara enam negeri di seluruh negara untuk program tersebut.

Menurut Gerald, program berkenaan merupakan inisiatif untuk membantu golongan remaja dan belia mengendalikan masalah kesihatan mental dalam kalangan mereka.

“Kami percaya melalui pendekatan seperti ini, ia dapat menyediakan platform untuk menyampaikan maklumat serta pendidikan, kesederan berkaitan kesihatan mental di seluruh negeri Sarawak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Praperasmian dan Pelancaran Rakan Muda Comfort Room @ Sarawak 2022 di Station Hostel JBS Negeri Sarawak, kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai pusat berkenaan, Gerald memberitahu, ia berperanan menjadi pusat khidmat nasihat dan bimbingan kepada golongan sasar dalam menghadapi masalah kesihatan mental.

“Pada masa sama dapat memberi pendidikan kepada masyarakat supaya peka dan sedar tentang situasi kesihatan mental di persekitatan mereka dan bagaimana mengendalikan situasi pesakit mental,” jelasnya.

“Pada masa yang sama dapat membina persepsi dan stigma masyarakat yang betul terhadap pesakit mental.

“Seterusnya menyediakan saluran yang betul untuk golongan belia mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan dalam menghadapi masalah kesihatan mental,” tambahnya.

Dalam pada itu, kerjasama strategik JBSNS, Persatuan Kesihatan Mental Sarawak (MHAS), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta IPT awam dan swasta untuk penganjuran program berkenaan dapat mewujudkan rakan yang lebih meluas khusus bagi membantu belia yang cenderung menghadapi masalah kesihatan mental. Pengarah JBS Sarawak, Lamat Nyalau turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru