Friday, August 19, 2022

Ibu bapa, guru perlu bekerjasama

Secara Rawak

BINTANGOR: Hubungan baik antara ibu bapa dan guru amat penting dalam menjamin kemajuan pendidikan terutama yang melibatkan prestasi pelajar di sekolah.

Adun Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kerjasama yang terjalin antara kedua-dua pihak dapat menyelesaikan sebarang bentuk masalah.

Malah katanya, kejayaan yang diraih oleh sesebuah sekolah tidak hanya bergantung kepada guru semata-mata sebaliknya turut melibatkan penyertaan ibu bapa.

“Hubungan baik ini dapat diterjemahkan melalui penubuhan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang berperanan penting sebagai platform terbaik ibu bapa dan guru untuk bekerjasama, merancang aktiviti dan menyelesaikan sebarang masalah,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Jasamu Dikenang Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Chiang, di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut, Kuong Hiing berkata, tanggungjawab PIBG bukan sekadar penghubung antara sekolah dengan ibu bapa sebaliknya tunjang kekuatan bagi memastikan setiap aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa, guru dan komuniti setempat terus berganding bahu dalam memastikan sahsiah pelajar sentiasa pada tahap terbaik.

“Untuk pelajar, hargailah pengorbanan para guru dan ibu bapa anda.

Patuhi peraturan sekolah dan hindari diri daripada terjebak dalam kegiatan yang tidak berfaedah. Manfaatkanlah usia muda dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Syarifah Idawati, Guru Besar SJKC Ming Chiang Nurul Ain Lee Abdullah dan Kapitan Ling Nie Hoe turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru