Thursday, August 18, 2022

HKM 2021: Panel hakim bebas pilih pemenang, bukan MPI

Secara Rawak

Ucapan alu-aluan Datuk Dr. Chamil Wariya, selaku pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2022 pada jam 8.30 malam, bertempat di Hotel Shangri-la Kuala Lumpur, pada 24 Jun 2022. Tetamu kehormat MWM 2022 ialah Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar

Terima kasih Saudara Pengacara Majlis, Shahril Sarapudin.

Assalamualaikum wbt dan selamat datang ke Malam Wartawan Malaysia 2022.

YBhg Tan Sri Johan Jaaffar, Tokoh Wartawan Negara, selaku tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2022.

YBhg Datuk Sazali Hamzah, Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Hiliran PETRONAS.

Yang Berusaha, Puan Mastura Ahmad Mustafa, Timbalan Ketua Setiausaha, Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, K-KOMM.

Datuk A. Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara.

Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman, pengarang kumpulan Berita Harian

Dr. Jeniri Amir, Ketua Pegawai Eksekutif, Suara Sarawak, Sarawak Tribune dan portal Sarawak Voice.

Encik James Sardar, Ketua Pengarang, Daily Express.

Cik Esther Ng, Ketua Pegawai Kandungan, Star Media Group

Saya juga mengalu-alukan kehadiran:

Ketua pengarah-ketua pengarah jabatan dan agensi kerajaan – Persekutuan dan negeri

Ketua ketua pegawai eksekutif organisasi berita dan media – di alam maya dan di alam nyata

Ketua-ketua pengarang

Para pengarang kumpulan,

Para wartawan veteran, termasuk empat orang wartawan yang pernah memenangi Hadiah Kajai yang akan berperanan sebagai pengumum calon-calon yang menang malam ini.

Para wartawan kanan dan seluruh wartawan yang kita raikan, termasuk calon para pemenang Hadia Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2021.

Tidak ketinggalan para penaja dan penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2022. Saya difahamkan ada yang terbang dari Kuching khusus untuk meraikan Malam Wartawan Malaysia 2022.

Terima kasih semua atas sokongan dan selamat datang.

Apabila Hadiah Kewartawanan Malaysia diperkenalkan pada tahun 1980 dan hadiah kepada para pemenang disampaikan pada Malam Wartawan pada tahun 1981, para pengasasnya barangkali tidak menjangka bahawa kedua-dua saranan nilai atau value proposition Malaysian Press Institute (MPI) itu dapat bertahan sampai ke hari ini.

Alhamdulilah dengan berlangsungnya MWM 2022 pada malam ini, majlis tahunan anjuran MPI itu memasuki tahun yang ke-41.

Dalam tempoh lebih empat dekad tersebut, ekosistem dan landskap media dan kewartawanan itu sendiri telah mengalami perubahan-perubahan yang amat pesat sekali.

Dipacu oleh kelahiran internet dan juga elemen-elemen kecerdasan bikinan, robotik, analisis data raya, internet of thing (IoT), realiti maya era Revolusi Industri 4.0, para wartawan generasi hari ini dituntut supaya bersedia memperkasakan diri dengan kepelbagaian kemahiran baharu, bersifat multi-tasking, dan pantas dalam menyalurkan berita tetapi kekal terikat dengan etika kewartawanan.

Kepantasan menyalurkan berita seiring fakta sahih dan tepat dalam mengekang penyebaran berita palsu, selain penggunaan pelbagai teknologi digital dalam pengumpulan dan penyebaran maklumat mengikut kitaran 24 jam sehari, dan 365 hari setahun, adalah antara cabaran utama yang perlu didepani kelompok wartawan profesional hari ini.

Kembali kepada penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2022, saya ingin merakamkan rasa terima kasih yang mendalam MPI kepada semua penyumbang yang kekal bersama MWM kali ini.

Penajaan dan sumbangan andalah yang telah membolehkan MPI meneruskan fungsinya untuk mengiktraf karya-karya terbaik kewartawanan Malaysia – di alam nyata dan di alam maya.

Antara tetamu yang hadir memeriahkan Malam Wartawan Malaysia 2022

Tanpa sumbangan anda mustahil majlis segah ini mampu dilaksanakan. Bagi saya ini membayangkan bahawa MWM merupakan satu produk yang mendapat sokongan amat memberangsangkan dalam kalangan warga korporat dan agensi kerajaan – Persekutuan dan Negeri.

Dengan kata lain, tersirat di balik MWM 2020 adalah peranan dan sumbangan anda semua untuk sama-sama mengiktiraf karya-karya cemerlang yang telah dihasilkan oleh para wartawan setiap tahun.

Tidak terkecuali, setinggi-tinggi penghargaan khusus buat Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS sebagai penaja utama hadiah kepada para pemenang sejak 1994. Tanpa tajaan hadiah tahunan bernilai RM 300,000 setahun itu mana mungkin MPI mampu menyediakan hadiah lumayan kepada para pemenang HKM.

Terima kasih Datuk Tengku Muhammad Taufik, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS! yang pada malam ini tidak dapat hadir, tetapi diwakili oleh Datuk Sazali Hamzah, naib presiden eksekutifnya dan serta sebilangan pegawai kanan PETRONAS yang lain, termasuk Datin Anita Azrina Abdul Aziz, ketua komunikasi strategiknya.

Terima kasih kerana PETRONAS sudi berkongsi rezeki dengan rakan-rakan wartawan, khususnya para pemenang HKM MPI PETRONAS.

Tentunya MPI berbangga apabila mencatat 35% peningkatan penyertaan HKM bagi tahun 2021. 350 penyertaan diterima bagi HKM tahun lalu berbanding 228 penyertaan pada 2020.

Ini membuktikan bahawa kesediaanpengamal media untuk berdaya saing secara sihat dengan mempertaruhkan penulisan dan pelaporan sepanjang tahun 2021 melalui Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2021 (HKM 2021) kekal membara.

Lebih membanggakan MPI, penyertaan tahun ini tidak lagi dikuasai dan dimonopoli oleh media legasi atau tradisional tetapi disaingi oleh media di alam maya dan jelas menggambarkan landskap baharu media dan kewartawanan di negara ini.

Malah kami di MPI tidak lagi melihat karya-karya yang dihantar untuk menyertai HKM berdasarkan media tradisional atau digital, tetapi berdasarkan platform. Hal ini kerana produk berita di alam nyata juga kini boleh diakses dalam talian.

Bagi HKM 2021, 10 organisasi berita yang berstatus portal, yang tidak mempunyai edisi cetak mengambil bahagian. Antaranya: The Vibes, the Malaysian Insight, TVS, Malaysia Post, Malaysiakini, KiniTV, mstar, Macaranga, Astro Awani dan Getaran. Saya tidak terkejut kalau ada antara mereka yang akan diangkat sebagai pemenang emas

Izinkan saya menjelaskan bahawa walaupun Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS adalah program yang dikendalikan oleh MPI, tetapi MPI tidak terlibat, secara langsung dan tidak langsung dalam memilih pemenang.

MPI hanya fasilatator atau pemudah cara penyertaan.

Dalam menentukan pemenang, MPI menyerahkan sepenuhnya kepada sebuah panel hakim yang bebas, terdiri daripada para wartawan veteran yang tidak lagi terikat dengan mana-mana organisasi berita dan juga para ahli akademik dalam bidang kewartawanan di beberapa IPTA dan IPTS.

Tan Sri Johan Jaaffar selaku tetamu kehormat menyampaikan ucapan

Merekalah yang membuat keputusan muktamad dalam satu mesyuarat terbuka. Keputusan dibuat secara sebulat suara.

Malah sejak tahun 2015, oleh kerana organisasi berita digital dibenarkan menyertai 17 kategori yang dipertandingkan dalam HKM, penilaian dibuat berdasarkan platform, bukan lagi tradisi atau digital.

Kalau kita teliti keputusan-keputusan HKM pasca 2015, dengan jelas menggambarkan apa yang saya nyatakan.

Organisasi kewartawanan digital seperti mStar, inTrend, Rojak Daily, portal berita Astro Awani, TV Kosmo, The Mole, Malaysia Gazette, Malaysiakini, the Vibes, Bernama.com, TV Sinar Harian adalah antara pemenang utama atau emas bagi kategori yang disertai antara 2015 hingga sekarang.

Dalam membuat penilaian saya difahamkan panel hakim melihat semua aspek meliputi kandungan, kuaiti maklumat, pengembangan naratif atau penceritaan, keaslian karya dan seebagainya.

MPI menerima keputusan yang mereka buat kerana MPI percaya demi ketelusan, MPI tidak boleh bertindak sebagai hakim, apa lagi menjadi pendakwa raya dan peguam bela.

Dengan kata lain, dalam memilih pemenang, MPI percaya kepada doktrin pengasingan kuasa. Prinsip inilah yang senantiasa akan dijunjung oleh MPI.

Sebelum berundur, sekali lagi terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan masing-masing dalam menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2022.

Senarai badan-badan korporat, organisasi media, agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang telah memberi sumbangan dan tajaan, disenaraikan dalam bukan program MWM 2022 yang diedarkan kepada semua

Kepada penaja HKM, PETRONAS, sekali lagi terima kasih.

Kepada Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar, MPI ingin merekodkan penghargaan atas kesudian beliau hadir sebagai tetamu kehormat.

Saya juga ingin memanjangkan penghargaan ikhlas dan mendalam saya kepada semua tetamu jemputan yang terdiri daripada:

  • ketua-ketua pegawai eksekutif, ketua pengarang, pengarang kumpulan serta para wartawan media di nyata dan dalam maya,
  • para ahli akademik bidang media, kewartawanan dan komunikasi
  • dan sahabat korporat MPI

yang juga sudi hadir untuk memeriahkan Malam Wartawan Malaysia 2022, majlis yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada kalangan yang telah menghasikan karya-karya kewartawanan pelbagai genre sepanjang tahun2021.

Bagi pihak tim pelaksana MPI yang diketuai oleh Puan Norhafiza Kamaluddin, saya menyusun sepuluh jari, memohon maaf bagi apa juga kekurangan dan kelemahan dalam penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2022.

Sekian wabillahitaufikwalhidayah wasalamualaikum warahmatullah hiwaboraktuh.

Memperkenakan dua orang wartawan ulung yang diangkat sebagai penerima Anugerah Khas HKM MPI PETRONAS 2021 – Datuk Seri Wong Chun Wai dan Dr. Jeniri Amir.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru