Friday, August 19, 2022

500 peluang pekerjaan

Secara Rawak

KUCHING: Cawangan Pasar Raya Farley baharu di Batu 6, Kuching, yang baharu dibina mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Pengarahnya Eseng Lau berkata, pembukaan cawangan baharu itu bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai bahkan menyediakan pusat beli-belah yang selesa dan berkualiti tinggi kepada pelanggan.

“Sejak penubuhan Farley pada tahun 1988 sebagai pasar mini, cawangan ini sentiasa berkhidmat dengan masyarakat setempat di samping membantu membuka peluang pekerjaan kepada mereka.

“Kami juga bersedia bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dalam pelbagai aktiviti dan acara awam.

“Kami berharap dapat meneruskan usaha sama dengan sektor awam dan swasta di Sarawak dalam usaha meningkatkan ekonomi tempatan dan mencapai Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030 selaras dengan pelaksanaan Kerajaan Sarawak,” berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Farley Kuching, kelmarin.

Tambah Eseng Lau, Yayasan Farley turut ditubuhkan pada tahun 2021 untuk menyokong pendidikan golongan memerlukan dengan harapan setiap anak Sarawak berhak mendapat pendidikan.

Selain itu, kumpulan itu juga berjaya menderma dan membantu mereka melalui pelbagai pertubuhan bukan kerajaan sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) Farley.

Manakala pada awal tahun ini turut menyaksikan Farley menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Sarawak bagi mewujudkan kerjasama akademik.

Lau dalam pada itu mendedahkan pemegang Kad Emas Kenyalang (KGC) akan menikmati tawaran diskaun antara lima hingga 10 peratus bagi barangan terpilih di seluruh cawangan Farley di Sarawak.

Bercakap pada majlis sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Hui Kian menggesa organisasi lain untuk mencontohi Farley dan inisiatifnya dalam program CSR.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Datuk Khirudin Drahman @ Hussaini turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru