Sunday, June 26, 2022

Tujuh tokan dadah di Sarawak ditangkap dalam Op Tapis Khas

Secara Rawak

KUCHING: Seramai tujuh orang tokan dadah antara 391 individu ditangkap dalam Op Tapis Khas Siri 4/2022 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sarawak pada 21 hingga 23 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, sebanyak 30 lokasi panas aktiviti salah guna dadah telah digempur termasuk 12 PPR, dua ladang swasta dan pelbagai tempat aktif di seluruh negeri ini.

“Sepanjang operasi ini, seramai 391 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dengan 283 daripadanya didapati positif pelbagai jenis dadah.

“Mereka terdiri daripada 369 lelaki dan 22 perempuan berusia antara 16 hingga 64 tahun,” katanya pada sidang media di IPK Sarawak, di sini hari ini.

Dalam pada itu Mohd Azman berkata, polis telah merampas dadah bernilai RM122,310 iaitu 337.21 gram syabu, 13 gram ganja, 3.90 gram ketamin, 1,611.03 gram jus (MDMA,ketamin,methamphetamine), 500 biji pil ektasi dan 315 gram pil eramin 5.

Jelasnya, rampasan dadah tertinggi dilakukan di Daerah Sibu iaitu bernilai RM91,048 diikuti Kuching bernilai RM8,490 dan Kapit, RM5,956 diikuti lain-lain daerah.

“Dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 2,674 orang penagih,” ujarnya.

Katanya, dalam tempoh 1 Januari hingga 23 Jun, JSJN Sarawak merekodkan sebanyak 4,410 orang tangkapan, merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM8,755,508 dan menyita harta bernilai RM1,576,836.82.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru