Friday, August 19, 2022

Pilih kursus sesuai dengan kelulusan

Secara Rawak

KUCHING: Program Pameran Pendidikan Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) 2022 mampu memberi ruang dan peluang kepada pelajar dan belia di kawasan luar bandar mengetahui perkara berkaitan pendidikan, latihan dan bantuan pendidikan.

Setiausaha Publisiti DTTAS Malvina Albert Klinsing berkata, maklumat penting boleh didedahkan kepada para belia dan pelajar di seluruh Sarawak terutama lepasan SPM dan STPM.

“Melalui pendedahan seumpama ini, para lepasan SPM dan STPM yang tidak berjaya dalam akademik juga akan berpeluang memilih kursus atau bidang pendidikan yang sesuai dengan kelulusan dan minat mereka.

“Setelah tamat pendidikan, kita yakin para belia yang mendapat keputusan kurang baik akan ragu-ragu serta dibelenggu sama ada ingin menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi atau terus masuk ke alam kerjaya.

“Justeru, penganjuran program seperti ini mampu membimbing dan menjadi panduan kepada pelajar agar dapat membuat keputusan yang bijak supaya tidak membazir masa dan wang ringgit, yang boleh mengakibatkan belia terlepas peluang daripada mendapatkan pekerjaan yang lebih baik setelah tamat pengajian,” katanya kelmarin.

Tambahnya, perancangan kerjaya dapat dilakukan dengan mudah seandainya graduan mempunyai perancangan kerjaya yang betul kerana semakin banyak maklumat yang diperoleh berkaitan kerjaya yang dipilih, ia akan menjadikan perancangan kerjaya mereka lebih baik.

“Membuat perancangan kerjaya memerlukan maklumat tentang pekerjaan yang dipertimbangkan dari pelbagai aspek relevan seperti pengetahuan, kemahiran, latihan dan lain-lain,” tegasnya.

Kemudian katanya, ia akan digabungkan dengan maklumat individu yang mencari pekerjaan, iaitu aspek kedua yang tidak kurang pentingnya.

“Oleh itu, bimbingan dan panduan amat penting bagi golongan ini pada masa kini, kerana tersalah pilih laluan akan membawa kepada masalah kepada mereka kelak,” jelasnya.

Untuk makluman, program ini merupakan anjuran DTTAS dengan kerjasama Yahos School of Skills dan disertai 12 institusi dan agensi lain yang terlibat.

Pameran Pendidikan DTTAS ini merupakan satu jelajah pendidikan di Sarawak yang dibuat secara berterusan, bergerak dari satu daerah ke satu daerah yang lain.

Strategi ini amat penting berikutan perubahan pendidikan dan tuntutan kerjaya yang sering mengutamakan keseimbangan dalam kedua-dua perkara tersebut.

“Kerajaan telah menyediakan pelbagai pelan pembangunan dalam pelbagai aspek yang merangkumi peranan belia dalam industri pelancongan, pemasaran dan pemantapan kebudayaan, dalam pelestarian kesenian pelbagai etnik dan dalam pembangunan ekonomi di negeri ini.

“Justeru, graduan harus mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan agar mereka boleh bersaing di pasaran pekerjaan yang sangat kompetitif.

Mereka juga harus sedar bahawa pencapaian akademik semata-mata tidak lagi menjamin untuk mendapatkan jawatan yang setaraf dengan kelulusan yang mereka peroleh.

“Saya juga ingin menyeru agar belia bergerak aktif menggunakan platform yang telah disediakan kerajaan agar misi dan matlamat DTTAS untuk melahirkan belia yang berketrampilan dapat direalisasikan pada tahap yang paling maksimum dan memberangsangkan,” kata Malvina.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru