Friday, August 19, 2022

Mi kuning daripada sagu

Secara Rawak

KUCHING: Inisiatif Sarawak (TSI) menerusi Program Kepimpinan telah berjaya menganjurkan projek komuniti di Kampung Beladin dari 17 hingga 19 Jun lalu.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada program kepimpinan anjuran TSI dan sebanyak 26 webinar yang disampaikan oleh pensyarah terkemuka sejak dilaksanakan pada 22 Julai tahun lalu.

TSI dalam satu kenyataan berkata, Projek Komuniti Beladin diketuai Mohammad Syahrimin Sahadan, pelajar pascasiswazah dalam Pengajian Pembangunan di Universiti Malaya dan dibantu oleh pakar, Pensyarah dari Unimas Dr Lucy Sebli, Pensyarah dari Swinburne Elizabeth Voong, dan Profesor dalam bidang Ekonomi dari Monash University Malaysia Profesor Dr M. Naiz Asadullah

“Projek Komuniti Beladin melibatkan ketua masyarakat setempat dan wanita daripada isi rumah B40 terutamanya ibu tunggal.

“Matlamat utama projek itu untuk meningkatkan kemahiran wanita bagi membolehkan menyertai aktiviti komersial bagi meningkatkan pendapatan selain bertujuan menangani pembasmian kemiskinan dengan memberikan motivasi, sokongan dan galakan kepada wanita di kawasan luar bandar dan pada masa yang sama untuk membawa perubahan sosial bagi mereka untuk aktif di kampung mereka,” jelasnya.

Ujarnya Projek Komuniti Beladin diharap menjana minat yang lebih besar bagi komuniti wanita dan Kerajaan Sarawak akan terus menyediakan insentif untuk membawa perubahan sosioekonomi dan pemerkasaan wanita di kawasan luar bandar.

“Strategi yang dijalankan oleh TSI menjadi langkah pertama untuk menarik wanita luar bandar dan TSI berharap dapat melihat usaha wanita untuk berubah kepada usaha komersial yang bermakna dan membuahkan hasil.

“Projek komuniti ini dianjurkan bersama dengan Swinburne University dan Craun Research Sdn Bhd, manakala 50 peserta dari Kampung Beladin telah menghadiri program selama tiga hari bertajuk Memperkasa Wanita Luar Bandar Miskin.

“Bengkel memasak bertajuk Bengkel Pemprosesan Mi Kuning Berasaskan Sagu dikendalikan oleh Craun Research Sdn Bhd dan TSI berharap bengkel memasak ini dapat memberi pengetahuan kepada ibu tunggal dan suri rumah isi rumah miskin tentang cara penyediaan mi kuning menggunakan sagu.

“Craun Research Sdn bhd juga mengajar peserta dengan kemahiran dan pengetahuan dari segi kos makanan serta pembungkusan makanan.

“Manakala Bengkel e-Perniagaan telah dikendalikan oleh Chris Edward dari TSI Aspiring Leaders dari The Sarawak Information System (Sains) pakar dalam kejuruteraan perisian.

“Peserta dibimbing mengenai platform e-niaga dan cara mendaftar dan menubuhkan kedai dalam talian untuk menjual produk mereka sendiri atau mana-mana produk tempatan.

“Ia termasuk satu bengkel Pengurusan Kewangan telah diketuai oleh Elizabeth Voong Ai Lin, seorang akauntan bertauliah, pensyarah perakaunan berpengalaman di Universiti Swinburne dan beliau dibantu oleh Dr Ling Chui Ching dan Shella Georgina Beatrice.

“Pasukan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak telah mengajar peserta bukan sahaja dalam hal penyimpanan buku tetapi mendedahkan dan membimbing mereka untuk mengira keuntungan bersih perniagaan mereka,” katanya.

Dalam pada itu juga kertas penyelidikan mengenai Kemiskinan Luar Bandar dan jantina yang diketuai oleh Profesor Niaz, profesor ekonomi dari Universiti Monash, dibantu oleh Dr Lucy Sebli, seorang saintis politik daripada Fakulti Sains sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) juga merupakan sebahagian daripada Projek Komuniti Beladin.

Malah TSI turut menyampaikan penghargaan kepada Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di bawah Malaysian Incentive Community Empowerment (MyICE) kerana menyediakan pembiayaan untuk projek berkenaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru