Sunday, June 26, 2022

Di mana hala tuju gas Sarawak?

Secara Rawak

KUCHING: Pelan 10 tahun hala tuju gas Sarawak diyakini mampu membuka lebih banyak peluang perniagaan baharu dan vendor terlibat dalam sektor perkhidmatan, peralatan, minyak dan gas (OGSE) pada masa hadapan.

Presiden Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) Mohd Yazid Ja’afar berkata, pihaknya juga optimis inisiatif tersebut turut bakal meningkatkan penggunaan bahan api fosil yang lebih bersih selaras dengan peralihan tenaga.

“Ini juga akan menjadikan Sarawak sebagai komponen utama dalam aspirasi Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya. Beliau berkata demikian pada Perasmian Jerayawara Perkhidmatan, Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, katanya kelestarian dalam industri adalah antara bidang tumpuan Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030, yang dilancarkan pada April 2021.

“Selaras dengan peralihan tenaga dan keperluan mendesak yang semakin meningkat di peringkat global untuk menangani perubahan iklim, para pemain mesti mengimbangi kemandirian kewangan dengan kemampanan jangka panjang.

“Justeru, di bawah pelan tersebut dari tahun ini hingga 2024, para pemain OGSE akan dibimbing ke arah menginstitusikan amalan kemampanan serta kelestarian,” jelasnya. Tambahnya, pelan tersebut juga mengandungi inisiatif yang direka untuk menyokong dan menerajui industri terbabit untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui.

Terdahulu, program dua hari yang julung kali diadakan di Sarawak terbabit dihadiri lebih dari 300 peserta sebagai sebahagian daripada siri jerayawara yang dijalankan di seluruh Malaysia untuk mempromosikan Pelan Tindakan OGSE. Pelan terbabit mengandungi 31 inisiatif dengan 21 inisiatif telah beroperasi sejak dilancarkan pada April 2021.

Hari kedua Jerayawara OGSE Sarawak 2022 akan diteruskan hari ini dengan menyaksikan penangguhan program bakal disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Eknonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru