Tuesday, August 16, 2022

Anugerah Kewartawanan Kenyalang: KJA2022 tawar hadiah RM250,000

Secara Rawak

KUCHING: Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) pada Khamis telah mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini.

Kunjungan hormat tersebut diketuai Presiden FSJA Andy Jong Wan Joon dan tiga wakil-wakil dari syarikat Shell, Petronas dan Sarawak Energy Berhad (SEB).

Kunjungan ini antara lain bertujuan menjemput Premier Sarawak sebagai tetamu kehormat bagi menyempurnakan dan seterusnya menyampaikan Anugerah Premier Sarawak sempena Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2022 yang dijadualkan pada 9 Disember 2022, di Hotel Imperial, Miri.

Ketika kunjungan hormat itu, Abang Abdul Rahman Zohari telah menyerahkan cek berjumlah RM100,000, sumbangan Kerajaan Sarawak sebagai penaja utama majlis berprestij tersebut.

Sejak tahun 2015, Kerajaan Sarawak telah menjadi penaja utama penganjuran, selain barisan penaja emas — Shell, Petronas dan Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menyumbang RM50,000 masing-masing.

Penyertaan KJA 2022 akan dibuka pada 1 Julai 2022 untuk penyertaan bagi penerbitan bermula 1 September 2021 hingga 31 Ogos 2022.

Pada tahun ini, pihak penganjur telah mengambil keputusan untuk menggunakan kaedah pengisian borang secara atas talian (online form).

Kaedah ini digunakan kepada peserta yang ingin menghantar salinan lembut (softcopy) melalui storan awan.

Mereka juga boleh menghantar salinan keras (hardcopy) melalui pos terus ke alamat Malaysia Press Institute (MPI) .

Borang secara atas talian boleh dicapai di laman sesawang MPI bermula 1 Julai ini.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 9 September 2022. Setiap peserta boleh menghantar maksimum 3 penyertaan termasuk perseorangan atau berkumpulan.

Sebanyak 11 kategori kekal dipertandingkan dalam KJA 2022.

Antaranya, Anugerah Kewartawanan Kesejahteraan Komuniti, Anugerah Laporan Kelestarian dan Anugerah Laporan Ekonomi dan Perniagaan.

Kategori lain termasukah Anugerah Kewartawanan (Rencana dan Penulisan Berita),Anugerah Laporan Berita, Anugerah Berita Sukan, Anugerah Ekonomi Digital, Anugerah Kewartawanan Penyiaran, Anugerah Kewartawanan Foto, Anugerah Esei Foto dan Anugerah Premier Sarawak.

Anugerah Khas Ketua Menteri yang dimulakan sejak 2016 kini dikenali sebagai Anugerah Premier Sarawak.

Secara keseluruhan, KJA 2022 menawarkan hadiah tunai bernilai RM250,000.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru