Sunday, June 26, 2022

Wajib daftar dalam 30 hari

Secara Rawak

KUCHING: Setiap individu yang tidak berada di Malaysia sepanjang tempoh umur 12 hingga 16 tahun (pasport sebagai bukti perjalanan) dan bertaraf warganegara wajib mendaftar untuk mendapatkan kad pengenalannya dalam tempoh 30 hari dari tarikh tiba di Malaysia.

Arahan itu termaktub di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), menurut Jabatan Pendaftaran Negara dalam satu kenyataan semalam.

Oleh itu katanya, bagi kes individu yang berumur genap 16 tahun atau lebih dan telah mendapat kelulusan kewarganegaraan, Perlembagaan Persekutuan dan bertaraf Warganegara wajib mendaftar untuk mendapatkan kad pengenalannya dalam tempoh 30 hari melalui proses permohonan Orang Baru Tiba (OBT).

“Tempoh ini bermula dari tarikh sijil kewarganegaraan diserah kepada pemohon. Permohonan di bawah kategori OBT akan diproses dan diputuskan oleh Bahagian Kad Pengenalan (BKP), Ibu Pejabat, JPN Putrajaya dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Dan sekiranya gagal mengemukakan permohonan kad pengenalannya dalam tempoh 30 hari melalui proses permohonan Orang Baru Tiba (OBT) tersebut, beliau hendaklah mengemukakan permohonan Daftar Lewat Kad Pengenalan (DLKP) seperti yang termaktub di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya.

Kenyataan itu menambah, peraturan tersebut memperuntukkan pengendalian urusan pemprosesan permohonan DLKP bagi orang yang wajib mendaftar di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang berumur melebihi 16 tahun pada tarikh pemohonan kad pengenalan dan masih belum memiliki kad pengenalan.

Semua permohonan lengkap DLKP yang diterima katanya, akan diputuskan oleh panel ibu pejabat atau negeri dalam tempoh yang ditetapkan.

“JPN juga ingin memaklumkan keputusan permohonan OBT atau DLKP akan mengambil masa lebih panjang sekiranya pihak pemohon tidak memberikan maklum balas terhadap kuiri yang diajukan oleh panel ataupun disebabkan dokumen yang dikemukakan tidak lengkap (selepas semakan/siasatan teliti).

“JPN ingin menegaskan walaupun kelulusan kewarganegaraan telah diberikan oleh pihak KDN, namun proses mendaftarkan pemohon dan mengeluarkan kad pengenalan masih tertakluk di bawah peraturan yang dinyatakan di atas,” ujarnya.

Sehubungan itu JPN menyeru agar pemohon yang berurusan untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri dari jabatan supaya sentiasa bekerjasama agar dokumen berkaitan dapat dikeluarkan mengikut prosedur dan tempoh yang ditetapkan.

“Adalah menjadi tanggungjawab jabatan ini melaksanakan tugas mengikut fungsi dan peranan yang ditetapkan perundangan dan perlembagaan.

Malah kita sentiasa memastikan tugas-tugas yang dilaksanakan sentiasa mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru