Saturday, June 25, 2022

Pembuli  jalan raya  buli wanita terima padah

Secara Rawak

KUCHING: Seorang mekanik dijatuhi hukuman denda RM800 atau penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam kejadian buli di jalan raya pada 18 Jun lepas.

Tertuduh M ,31, berasal Kampung Sageng, Simunjan, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mendatangkan ketakutan terhadap wanita berusia 28 tahun dengan melakukan ugutan jenayah, mengetuk cermin kereta dan mengeluarkan kata-kata kesat di Jalan Pasar Sungai Maong, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan mangsa kejadian sedang memandu di Jalan Pasar Sungai Maong, tiba-tiba laluannya dimasuki sebuah kereta tanpa memberi isyarat.

Pengadu yang terkejut lalu menekan hon keretanya dan berhenti di tepi jalan lalu didatangi oleh seorang lelaki yang bertindak mengetuk cermin kereta serta membuang putung rokok ke arah kereta mangsa sambil menunjukkan jari tengah.

Terdahulu, satu hantaran video berdurasi 30 saat tular di media sosial yang dikongsi pemilik akaun bernama Sandy Tan mendakwa seorang lelaki memberhentikan kereta dan menghalang kenderaan milik mangsa.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru