Saturday, June 25, 2022

Pasaran kerja di Sarawak amat kompetitif

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Pasaran kerja di Malaysia khususnya Sarawak amat kompetitif bukan sahaja daripada perspektif pekerja tetapi juga majikan, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.

Sehubungan itu menurutnya, majikan dan pekerja akan sentiasa berusaha untuk mendapatkan calon yang memenuhi kehendak masing-masing.

“Bukan sahaja pekerja yang berhati-hati untuk memilih pekerjaan yang boleh menjamin kehidupan mereka, malah majikan juga turut dipengaruhi sentimen perniagaan dan prestasi ekonomi semasa yang sangat kompetitif.

“Keadaan ini juga mempengaruhi keputusan mereka untuk menambah bilangan pekerja dan ini sudah pasti menjejaskan peluang pekerja-pekerja baharu khasnya dalam kalangan belia dan siswazah,” ujarnya semasa berucap sempena majlis perasmian ‘Pameran Kerjaya dan Pengambilan Bakat (Trace) 2022’ di DeTAR Putra, Unimas dekat sini Rabu.

Tambah beliau, semua pihak perlu menyedari bahawa golongan pencari kerja terutama sekali lepasan universiti dan institusi pendidikan yang lain amat mudah terjejas dengan situasi pasaran buruh yang kompetitif dan sentiasa berubah-ubah.

“Ini diburukkan lagi dengan faktor-faktor seperti kurangnya pengalaman, tiada kemahiran berkomunikasi dengan majikan serta yang paling sukar ialah masalah asimetri maklumat yang membawa kepada ketidaktepatan maklumat (imperfect information),” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau dengan adanya penganjuran Unimas Trace – ia boleh mengurangkan masalah asimetri maklumat in dengan mempertemukan kedua-dua majikan dan pekerja dalam satu platform yang sebenar.

Hadir sama Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi; Penolong Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni-Hepa) Profesor Dr Kamarudin Kana; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Inovasi) Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit; Pendaftar Unimas Azlan Ramli; Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar Profesor Madya Dr Faisal Ali Anwarali Khan; dan Pengarah Urusan Unimas Trace 2022 Eva Natasha Chloreg.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru