Sunday, June 26, 2022

Kes varian Omicron mudah berjangkit dikesan di Sarawak 

Secara Rawak

KUCHING: Kes varian Omicron yang mudah berjangkit iaitu BA.2.12.1 dan BA.5 telah dikesan di Sarawak, baru-baru ini.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Unimas Prof. Dr. David Perera berkata, ia dikesan daripada 1,229 sampel berjaya disusun bagi kes positif Covid-19 bermula 1 Mac hingga 16 Jun tahun ini.

“Semuanya dikesan sebagai Varian Omicron Membimbangkan B.1.1.529 (VOC).

“Sampel ini mewakili kes positif yang diperoleh di seluruh negeri,” katanya dalam satu laporan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata BA.2 terus menjadi subvarian beredar yang dominan dan dengan beberapa sub-keturunan kecilnya dikesan.

Bagaimanapun katanya, pada minggu terakhir Mei, penyelidikan mengesan kejadian pertama BA.2.12.1 yang mudah berjangkit merupakan kes dari Kuching manakala BA.5 kes dari Sibu.

“Seterusnya, satu kes tambahan BA 2.12.1 dan tiga kes BA.5 dikesan di Kuching hingga minggu kedua dan ketiga Jun,” jelasnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini telah mengklasifikasikan kedua-dua sub-keturunan ini sebagai mudah menular dengan kadar jangkitan yang lebih pantas berbanding Omicron VOC.

Ujarnya, BA 2.12.1, pertama kali dikesan di Amerika Syarikat, terus menjadi pendorong utama jangkitan di negara itu.

Sementara itu, BA.5, yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan, telah menyebabkan peningkatan baru-baru ini dalam kes Covid-19 di beberapa negara di seluruh dunia.

“Memandangkan perkembangan ini, orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan risiko peningkatan kadar jangkitan di negeri ini.

“Mereka juga sangat dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan penggalak khususnya bagi individu yang mempunyai komorbiditi dan berumur 60 tahun ke atas,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru