Sunday, June 26, 2022

Bersedia serangan siber

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak harus bersedia menghadapi sebarangan serangan keselamatan siber dengan menghasilkan impak paling rendah dalam menyertai dunia ekonomi digital.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut amat penting kerana tanpa sebarang persediaan, mungkin boleh melumpuhkan keseluruhan sistem digital negeri.

“Keselamatan siber bukan lagi pilihan teknologi tetapi keperluan masyarakat. Ia perniagaan yang berkembang pesat pada zaman sekarang. “Malah menurut Laporan Keselamatan Siber Suruhanjaya Eropah, jenayah siber merugikan dunia sebanyak USD5.76 trilion pada 2020.

Inilah pemindahan kekayaan ekonomi terbesar dalam sejarah.“Maka, tidak dinafikan bahawa masih dan akan terus berlaku. Oleh itu, amat penting untuk bersedia menghadapinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (Idecs) Ke-5 2022 bertempat di BCCK di sini, semalam.

“Keselamatan siber ini bukan sahaja mengenai perlindungan data dan maklumat tetapi termasuk infrastruktur kritikal, sistem pengangkutan, penjagaan kesihatan, pembuatan, peruncitan dan kewangan, aspek kemasyarakatan dan banyak lagi,” tegasnya.

Beliau menegaskan teknologi yang mengganggu seperti Kecerdasan Buatan (AI), rantaian blok dan pengkomputeran kuantum akan memberi kesan kepada cara keselamatan siber perlu dicapai dan dikuasai.

“Bagaimanapun, serangan siber tetap berlaku kerana jenayah siber adalah perniagaan. “Oleh itu, penting untuk bersedia menghadapi mereka dengan kesan yang paling rendah yang mungkin terhadap keseluruhan sistem,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Kerajaan Sarawak sedang menangani keperluan kemahiran untuk ekonomi digitial.

“Apabila peranan baharu timbul dan keperluan pekerjaan berubah-ubah, skop bakat sedia ada mungkin tidak dapat menampung perubahan permintaan akibat kemajuan seperti kecerdasan buatan (AI), rantaian blok, revolusi perindustrian 4.0 (IR4.0), realiti maya dan tambahan, robotik, keselamatan siber, Internet Perkara (IoT), pengkomputeran awan dan lain-lain.

“Menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF), menjelang 2025, sebanyak 85 juta pekerjaan akan dipindahkan, 95 juta pekerjaan berteknologi tinggi baharu akan dijana dan 54 peratus daripada semua pekerja, iaitu lebih separuh perlu meningkatkan kemahiran dengan ketara disebabkan teknologi baharu muncul.

“Sehubungani itu, Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) menubuhkan Sekolah Antarabangsa bagi melengkapkan lagi pendidikan Stem dan pembangunan modal insan di Sarawak,” katanya memberi jaminan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru