Sunday, June 26, 2022

Bangunkan bakat muda

Secara Rawak

SARIKEI: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (Tegas) mempunyai tanggungjawab besar membangkit kesedaran dan membangunkan bakat anak muda Sarawak dalam bidang teknologi digital selaras dengan hasrat untuk menjadikan Sarawak sebagai wilayah termaju di Malaysia menjelang 2030.

Pengerusinya, Datuk Len Talif Salleh berkata, Tegas sentiasa mencari jalan terbaik untuk memastikan setiap program khususnya di luar bandar dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.

Langkah itu katanya, bertujuan memastikan pembangunan yang seiring dan jurang literasi digital antara masyarakat bandar dengan luar bandar dapat dirapatkan.

“Antaranya ialah Literasi Inovasi Komuniti (COMIL) di Kampung Rajang Tanjung Manis, Uma Belor Sungai Asap, Long Bedian Baram, Long Latei Baram, Kampung Bakam Bekenu, Penan Muslim Bintulu dan banyak lagi.

Akan datang, kita juga akan mengadakan Program Teknologi Masa Depan,” katanya pada Majlis Perasmian Jerayawara Sempena Ulang Tahun Tegas ke-10 di Dewan Sentral di sini, semalam.

Beliau berkata, Tegas merupakan sebahagian strategi penting untuk membangunkan ekonomi dan kemakmuran anak Sarawak melalui perubahan pemikiran.

Sejak tujuh tahun lalu katanya, Tegas merangka pelbagai program berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) dan inovasi digital selaras dengan hasrat untuk memperkasakan kebolehpasaran golongan muda Sarawak dalam bidang yang berkaitan.

Justeru katanya, Tegas mahu masyarakat khususnya di luar bandar mempersiapkan diri dengan pengetahuan digital seiring dengan peredaran masa.

“Tegas berupaya memacu perkembangan pesat sosioekonomi negeri khususnya dalam mencapai matlamat kuasa ekonomi yang berteraskan teknikal.

Ia bukan sekadar berperanan sebagai platfotm inklusif untuk membantu golongan muda tetapi juga bertujuan melahirkan lebih ramai modal insan kreatif dan berinovasi,” ujarnya.

Beliau menambah, melalui pendekatan itu pakar industri juga boleh berkongsi ilmu dan kepakaran mereka berkaitan teknologi dan digital bersama-sama pelajar, guru dan komuniti setempat secara efektif seterusnya melahirkan pelajar yang celik inovasi digital dan teknologi.

Jerayawara itu diadakan sempena sambutan ulang tahun penubuhan Tegas yang ke-10 di 11 lokasi terpilih bermula dari Serian, Debak, Sri Aman, Sarikei, Bintangor, Kapit, Balingian, Marudi, Limbang, Betong dan Kuching.

Aktiviti itu merupakan salah satu platform penting dalam menyampaikan maklumat tepat berhubung visi dan misi serta fungsi sebenar Tegas kepada komuniti setempat.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru