Saturday, June 25, 2022

Ahli Parlimen Lubok Antu mohon sertai GPS

Secara Rawak

KUCHING: Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang tidak berminat menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM)  sekali gus mengecaikan harapan parti itu untuk menambahkan jumlah wakil rakyatnya.

Semalam, Pengganti presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan mempelawa  ahli parlimen bebas untuk menyertai parti itu.

Ketika ini Sarawak mempunyai dua orang ahli parlimen bebas, iaitu Ahli parlimen Sri Aman Datuk Masir Kujat dan Jugah.

Jugah dalam temu bual dengan FMT hari ini menjelaskan ini adalah kerana beliau sudah memohon untuk menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS) di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiga bulan lalu.

Ahli Parlimen bebas itu mengakui dipelawa oleh pengganti presiden PBM, Zuraida Kamaruddin untuk menyertai parti itu.

“Tetapi disebabkan dari awal lagi saya tetap dengan pendirian untuk menyokong parti tempatan di Sarawak, jadi fokus saya adalah menyertai parti tempatan.

“Saya sudah menyatakan sokongan untuk menyokong parti tempatan, iaitu komponen GPS. Saya serah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya, saya harap permohonan saya diterima,” katanya lagi.

Pada PRU14, Jugah yang bertanding sebagai calon bebas, memenangi kerusi Lubok Antu dengan 1,059 undi majoriti.

Beliau menyertai PKR pada Mei 2018, sebelum meninggalkan parti itu pada Jun 2020 dan menjadi Ahli Parlimen bebas sehingga kini.

Selain Jugah, Ahli parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin juga dilaporkan  telah mengemukakan permohonan menyertai GPS.

Willie berkata, beliau mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli parti komponen GPS berkenaan beberapa bulan yang lalu, tetapi masih belum mendapat sebarang keputusan sama ada permohonan beliau itu diterima atau ditolak.

Menurut Willie, beliau tidak pernah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tetapi hanya “diparkirkan” dalam parti itu untuk menyokong kerajaan yang sedia ada.

“Saya telah mengemukakan permohonan saya untuk menyertai parti tempatan dan dengan harapan mereka akan menerima permohonan saya.

“Untuk rekod apabila kerajaan bertukar saya tidak menyertai mana-mana parti tetapi saya tidak menafikan bahawa saya diletakkan di dalam untuk menyokong kerajaan yang mana mereka secara teknikal meletakkan saya di bawah Bersatu supaya saya boleh membawa nombor (bilangan kerusi yang mencukupi) bagi menyokong kerajaan hari ini dan sekarang saya juga masih menyokong kerajaan sekarang dan saya amat berterima kasih atas bantuan kerajaan sekarang,” beliau dipetik berkata.

Untuk rekod, dalam pRU 2018, GPS – ketika itu BN yang terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP memenangi 19 daripada 31 kerusi Parlimen.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru