Sunday, June 26, 2022

Adakah Willie akan diterima menyertai PBB?

Secara Rawak

LUNDU: Adakah akhirnya ahli parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin akan diterima masuk ke dalam PBB dan seterusnya menjadi calon dalam PRU-15 nanti?

Inilah persoalan yang berlegar dalam kalangan pemerhati politik dan para pengundi di kawasan terbabit.

Sama ada itu berlaku atau tidak, adalah menarik untuk melihat perkembangan selanjutnya. 

Menurut Naib Presiden PBB, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mendengar pandangan daripada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di dalam kawasan Parlimen Puncak Borneo sebelum membuat apa-apa ketetapan.

Apakah pendirian ketiga-tiga Adun terbabit?

Adakah PBB akan menerima Willie jika ketiga-tiga mereka bersetuju?

Sebelum ini media melaporkan bahawa Willie Mongin  telah memohon menyertai menyertai PBB, parti komponen utama GPS.

Jelas Karim di sini, pandangan daripada Datuk Roland Sagah Wee Inn (ADUN Tarat), Datuk Dr Jerip Susil (Mambong) dan Miro Simuh (Serembu) bakal diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Mereka (Majlis Tertinggi) juga perlu berunding dengan pemimpin akar umbi seperti ketua masyarakat kaum Bidayuh di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan pertandingan Miss Tourism International Friendship Pathway di sini.

Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi  kini ialah   ahli Bersatu selepas bertindak keluar daripada PKR susulan Langkah Sheraton tahun lalu.

Beliau  mendakwa bahawa selama ini beliau “secara teknikal” diletakkan dalam Bersatu bagi menyokong kerajaan semasa.

Willie memenangi kerusi parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum ke-14 atas tiket PKR  dengan memenangi 54 peratus undi apabila meraih 18,865 undi menewaskan Genot Sinel (PBB) yang mendapat 14,860 undi dan Buin Patrick Ribos (Star) yang hanya mendapat 795 undi.

Sebanyak 76.10 pengundi turun mengundi di kawasan Parlimen itu.

Willie  bertanding dalam PRN Sarawak atas tiket PKR pada 2011 dan 2016, tetapi tewas.

Dalam PRU 2013, beliau juga mencuba nasib tetapi tewas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru