Saturday, June 25, 2022

1,499 ekor anjing dipasang mikrocip

Secara Rawak

SIBU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) merekodkan 1,499 anjing di negeri ini telah dipasang mikrocip.

Pengarahnya Dr Adrian Susin Ambud ketika dihubungi berkata, jumlah itu adalah direkodkan dari beberapa bahagian yang telah menjalani program pemvaksinan, perlesenan dan pemasangan mikrocip pada minggu lalu.

“Jumlah tersebut merangkumi 197 anjing berlesen yang dipasang dengan mikrocip di Sibu, Sarikei dan Miri pada minggu lalu.

“Bagi program vaksinasi anjing dalam mengekang rabies, sebanyak 5,996 ekor anjing telah divaksin pada tahun ini di seluruh Sarawak,” jelasnya.

Dr Adrian memberitahu, angka itu termasuk 536 ekor yang telah diberi vaksin pada Isnin.

Sementara itu, dalam kenyataan akhbar baru-baru ini DVSS berkata, mikrocip anjing adalah prosedur yang mudah dan selamat serta tidak mendatangkan kemudaratan kepada anjing.

“Apabila anjing yang hilang ditemui, pihak berkuasa akan mengimbas mikrocip haiwan itu bagi mengesan pemiliknya,” jelas kenyataan itu. Jabatan itu berkata, pemasangan mikrocip juga menggalakkan pemilik haiwan peliharaan lebih bertanggungjawab.

DVSS memberitahu, mikrocip bukan unit GPS justeru tidak boleh digunakan untuk mengesan haiwan tersebut sekiranya berlaku kehilangan.

“Setiap anjing yang hendak dipasang dengan mikrocip perlu mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu.

“Lesen anjing adalah keperluan di bawah Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Perlesenan dan Kawalan Anjing) 2018 yang mensyaratkan setiap orang yang memiliki anjing hendaklah mendaftar dan mendapatkan lesen daripada PBT,” tegas jabatan itu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru