Sunday, June 26, 2022

Semua menara telekomunikasi dilengkapi capaian 4G

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak menyasarkan pembangunan semua menara telekomunikasi yang dilengkapi capaian 4G siap sepenuhnya pada 2023.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia melibatkan peruntukan RM2 bilion yang dijangka siap secara berperingkat-peringkat.

Jelasnya ia termasuk menara di beberapa kawasan luar bandar seperti Telang Usan, Belaga dan Kapit.

“Semua menara yang dibangunkan ini akan dilengkapi dengan capaian 4G termasuk di Telang Usan, Belaha dan Kapit yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sempena Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Menurutnya pembinaan semua menara telekomunikasi itu sedang dilaksanakan dalam dua fasa.

Fasa pertama jelasnya akan siap pada tahun ini dan fasa kedua siap pada 2023. Untuk rekod sebanyak 150 menara dibangunkan dalam fasa satu dan fasa kedua melibatkan pembangunan 44 menara di bawah Program Sarawak Rural Broadband Network (SRBN).

Dengan siapnya kesemua menara itu ia akan memanfaatkan lebih 45,000 pengguna di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti. Beliau yang juga Presiden Parti PBB berharap agar isu kekangan capaian Internet di Sarawak khususnya kawasan luar bandar dan pedalaman dapat diatasi selepas pembangunan menara telekomunikasi itu siap.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru