Sunday, June 26, 2022

Sarawak mula nikmati hasil IDECS

Secara Rawak

KUCHING: Sejak pelancaran Strategi Ekonomi Digital pada 2018, Sarawak telah berjaya meningkatkan pembangunan ekonominya menerusi transformasi dalam pelbagai sektor.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg seperti dipetik TVS  berkata, antara bidang yang menyaksikan perubahan termasuklah pertanian, industri minyak sawit, e-dagang, kewangan dan teknologi kewangan, kerajaan digital, bandar pintar, pelancongan, industri pembuatan dan perkhidmatan.

Katanya, dasar dan strategi itu berjaya dicapai menerusi Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) yang pertama pada 2017 yang telah memasuki edisi kelima penganjurannya tahun ini.

“Dalam tempoh empat hingga tahun lepas, Sarawak mula menikmati hasil seperti apa yang ditetapkan pada IDECS pertama.

“Kini kawasan luar bandar juga memerlukan perubahan serupa. Apabila kesalinghubungan selesai di seluruh negeri, maka setiap bahagian di Sarawak mudah untuk kita ubah ke arah ekonomi digital,”katanya

Beliau berkata demikian ketika temu bual eksklusif bersama TVS selepas majlis penutup IDECS 2022 di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, dalam aspek latihan, masih banyak yang perlu dilaksanakan pihak berkepentingan kerana perubahan digitalisasi merupakan proses yang berterusan dan kerajaan negeri menyedari perkara berkenaan.

“Sehubungan antara langkah yang diambil seperti dilakukan oleh Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) yang menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat teknologi antarabangsa seperti Huawei untuk melatih pelajar dan bakal tenaga kerja bidang digital untuk memacu sektor ekonomi digital di Sarawak,” katanya.

Dalam usaha untuk mengukuhkan pendigitalan, Kerajaan Sarawak sebelum ini menubuhkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) pada 2018 menerusi Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Multimedia Sarawak (LMS) 2017.

Ia merupakan sebuah badan kawal selia untuk menerajui, menyelia dan memudahkan pembangunan dan pelaksanaan komunikasi, multimedia dan inisiatif ekonomi digital negeri.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru