Sunday, June 26, 2022

Sarawak fokus tanaman kelapa, jagung

Secara Rawak

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terima kunjungan hormat daripada Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Pejabat Premier Sarawak, Tingkat 22 Wisma Bapa Malaysia, di sini, pagi kelmarin.

Kunjungan hormat yang diketuai Pengerusi Jemaah Pengarah Datuk Zamri Yaakob bertujuan berkongsi pandangan dalam memajukan sektor pertanian Sarawak sebagai usaha memulihkan keadaan keselamatan makanan yang sangat relevan ketika ini.

Nafas akan mengetuai misi tersebut bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) menggerakkan usaha seperti penggalakkan perusahaan tanaman padi dengan mengagihkan baja padi sebanyak 40,000 tan metrik dengan kerjasama Salcra bagi mengimbangi bekalan dan permintaan dalam serta luar negara.

Selain itu, Nafas turut memfokuskan kepada tanaman kelapa dan jagung yang mendapat permintaan tinggi, malah Malaysia mengimport hasil tanaman jagung sekitar RM26 bilion setahun.

Cadangan Nafas bagi membangunkan tanah adat (NCR) sebagai membuka ladang kelapa dan jagung dipersetujui oleh Premier Sarawak dan Nafas bakal bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Negeri serta kerajaan negeri bagi tujuan tersebut.

Turut hadir ialah Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi dan Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru