Sunday, June 26, 2022

Jalan YB Tiboh Rantai

Secara Rawak

SIBU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersetuju dengan cadangan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) untuk mewujudkan nama Jalan YB Tiboh Rantai di sini.

Menterinya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ini bagi mengiktiraf sumbangan pemimpin khususnya ahli dan pemimpin SUPP terdahulu.

Menurut beliau, Tiboh adalah Ahli Parlimen Iban yang pertama dari Sibu sekitar 60 hingga 70-an dahulu dari SUPP.

“Cadangan baru-baru ini oleh MDLBS yang mahu menamakan Jalan YB Tiboh di kawasan pentadbirannya di luar bandar akan saya pertimbangkan.

“Ini sangat baik bagi kita mengiktiraf sumbangan pemimpin terdahulu untuk memperingatinya jasanya,” katanya yang merupakan Presiden SUPP.

Bagaimanapun, Dr Sim tidak menyebut lokasi yang tepat dimana jalan itu hendak dinamakan sedemikian.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Program Kesedaran Wabak Rabies dan Demam Babi Afrika (ASF) di Rumah Bunsie Tiboh, Jalan Salim Belalang dekat sini pada petang Ahad.

Dr Sim berkata, beliau sangat gembira apabila mengunjungi rumah panjang tersebut pada majlis itu kerana ia merupakan rumah panjang asal YB Tiboh.

Bercakap mengenai program tersebut beliau menggesa masyarakat setempat untuk segera ke klinik jika digigit anjing.

Menurutnya, mereka digigit anjing perlu mendapatkan vaksinasi bagi mengekang jangkitan wabak rabies.

Adun Batu Kawah itu berkata, vaksinasi yang diberikan kepada mangsa gigitan anjing 99 peratus berkesan.

“Jika tidak mendapat vaksin selepas digigit anjing, 99.9 peratus berkemungkinan akan mati sebaik virus itu sampai ke otak.

“Jadi… jangan pandang ringan sebarang gigitan anjing kerana kita tidak tahu anjing yang menggigit itu ada menghidap rabies atau tidak,” tegas beliau. Menyentuh mengenai pinjaman untuk penduduk rumah panjang membina rumah panjang baharu, katanya Kerajaan Negeri telah bersetuju memperuntukkan RM15 juta setiap tahun untuk tujuan itu.

“Kerajaan Sarawak telah bersetuju bahawa setiap tahun kita ada RM15 juta untuk itu.

Semasa Najib Razak sebagai Perdana Menteri tahun pertama mereka (Kerajaan Persekutuan) memberi RM20 juta, selepas itu RM10 juta apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.

Mereka mengurangkan peruntukan itu dan kemudian sehingga pertukaran kerajaan, ia dikembalikan kepada RM15 juta,” katanya.

Seperti sekarang, katanya setiap ‘pintu’ (isi rumah) boleh memohon pinjaman tanpa faedah sebanyak RM15,000 itu boleh dibayar balik secara ansuran tanpa faedah.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang Ming Tee, Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek, Pengerusi MDLBS Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai dan Timbalan Pengerusi MDLBS Kaunselor Wong Ching Yong.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru