Sunday, November 27, 2022

Gali, kaji bahasa etnik

Secara Rawak

KUCHING: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak sebagai sebuah agensi bahasa, sastera dan penerbitan harus menyelaraskan tiga fungsi utamanya itu dengan teras ekonomi digital.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penyelarasan itu sudah tentu mendukung gagasan kerajaan Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.

“Setelah bertapak selama 45 tahun di Sarawak, DBP semestinya sudah maklum dan memahami aspirasi negeri ini, khususnya untuk menjadi negeri maju menjelang 2030 yang hanya berbaki lapan tahun sahaja lagi dengan polisi Ekonomi Digital.

“Justeru, amat penting bagi tiga fungsi ini (bahasa, sastera dan penerbitan) dijadikan sandaran dalam membangunkan teknologi dan capaian di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman pada Majlis Perasmian Karnival Intelek 2022 sempena Sambutan Ulang Tahun ke-45 DBP Cawangan Sarawak, di sini, kelmarin.

Beliau menambah, DBP Cawangan Sarawak perlu merekayasa pelbagai pendekatan dan kaedah bidang tugasnya selari dengan dasar dan polisi kerajaan tidak kira di peringkat Persekutuan atau Kerajaan Negeri.

“Usaha merekayasa ini bukan sahaja meliputi kemasyarakatan tetapi juga kecanggihan teknologi yang berteraskan pemodenan dan kemajuan.

Sebab, dasar dan polisi kerajaan sememangnya menuju ke arah kemajuan dan pemodenan dalam segala aspek kehidupan dan kemudahan pada masa depan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai tiga fungsi utama DBP Cawangan Sarawak, dalam konteks bahasa, beliau berkata isu bahasa bukan sahaja dijadikan alat komunikasi tetapi juga menjadi isu kesedaran tentang hak mutlak yang menjadi asas jati diri warganegara.

Justeru, usaha untuk menggali, mengkaji dan menyelidik bahasa-bahasa sukuan atau etnik sehingga diterbitkan sebagai buku daftar kata atau dijadikan kamus, dilihat sebagai satu agenda yang praktikal.

Manakala menyentuh mengenai sastera pula, katanya bidang sastera perlu menjadi ruang untuk menjentik idea-idea baharu tidak kira dalam konsep pembangunan fizikal, penggunaan teknologi dan penerokaan imaginasi yang logik untuk dijadikan bahan pengkaryaan.

Menurutnya, ini bermakna karya-karya yang hadir di negeri ini harus bersifat futuristik, di luar kotak pemikiran biasa dan memecah kebuntuan utopia yang radikal tetapi rasional.

Begitu juga dengan penerbitan, beliau menegaskan bukan sahaja yang bersifat pengkaryaan tetapi juga penemuan sama ada hasil kajian, pertumbuhan ilmu semasa atau yang bakal dilaksanakan.

Penerbitan kini bukan lagi hanya dalam bentuk yang ditemui melalui fizikal seperti buku sahaja tetapi sudah mampu tersebar dalam dunia maya agar mudah dicapai dan diperoleh.

“Maka, kaedah dan pendekatan semestinya memberi impak yang lebih berwibawa, bukan sekadar peralihan fizikal ke digital tetapi membuka ruang keilmuan yang boleh menjana penambahbaikan, pembaharuan dan kecanggihan.

“Dengan kata lain kaedah dan pendekatannya yang mesra pengguna, senang diakses, ringan tetapi padat, cepat tetapi cukup dan mampu merangsang pemikiran masyarakat secara langsung atau tidak langsung,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru