Sunday, June 26, 2022

Bekerja empat hari seminggu?

Secara Rawak

United Kingdom (UK) memulakan polisi baharu bekerja empat hari seminggu dengan memberikan gaji penuh selama tempoh percubaan enam bulan.

Pengurus Jenama kilang di London, Sienna O’Rourke memberitahu CNN, objektif pengenalan sistem bekerja empat hari seminggu itu antara lain dibuat bagi meningkatkan kesihatan mental pekerjanya.

Menurut beliau, pandemik membuatkan mereka terfikir berkaitan kerja dan cara orang mengatur kehidupan mereka.

“Kami melakukan ini untuk meningkatkan kehidupan kakitangan dan ia menjadi sebahagian daripada perubahan progresif di dunia,” menurut O’Rourke.

Beberapa syarikat di negara tertentu seperti New Zealand dan Sweden sudah mula memperkenalkan polisi ‘4 Day Work Week’ dan terbukti memberi kesan sangat positif terutamanya dari segi ‘work-life balance’.

Menurut CNN, usaha itu merupakan projek perintis melibatkan 3,300 pekerja daripada 70 syarikat.

Iceland turut dilaporkan sebagai negara yang memperkenalkan sistem bekerja jauh lebih pendek dalam tempoh seminggu.

Di Malaysia cadangan melaksanakan kerja empat hari seminggu masih dibincang dengan lebih teliti.

Cadangan itu juga mungkin tertumpu kepada beberapa industri sahaja dan tidak menyeluruh kepada semua pekerja pelbagai sektor di negara ini kerana dikhuatiri memberi kesan negatif kepada pekerja seperti pemotongan gaji, elaun dan lain-lain.

Di Malaysia, sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti bekerja berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu, demikian mengikut tinjauan Qualtrics, syarikat berpengalaman mengendalikan tinjauan secara dalam talian.

Memetik laporan akhbar nasional, secara keseluruhan, di Asia Tenggara keutamaan untuk fleksibiliti adalah sebanyak 60 peratus memilih minggu bekerja yang lebih singkat.

Laporan itu menyebut sepertiga pekerja di Asia Tenggara mengatakan fleksibiliti bermakna kebebasan menentukan jam bekerja.

Selebihnya mentakrifkan fleksibiliti sebagai keupayaan bekerja dari mana-mana lokasi (24 peratus), memilih hari mereka bekerja (19 peratus), atau dinilai berdasarkan prestasi, bukan bilangan jam bekerja (18 peratus).

Responden daripada Malaysia menyuarakan pilihan yang sama.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru