Sunday, September 25, 2022

Usah persoalkan penggunaan BI

Secara Rawak

KUCHING: Jangan persoalkan pendirian Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memartabatkan penggunaan bahasa Inggeris (BI) di negeri ini, tegas Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Timbalan Premier Sarawak itu berkata, ini kerana hanya rakyat Sarawak yang lebih tahu siapa mereka.

“Saya menyokong penuh saranan Premier Sarawak (Abang Johari) mengenai penggunaan bahasa Inggeris.

“Jangan persoalkan pendirian Sarawak untuk memartabatkan bahasa Inggeris ini kerana kita lebih mengetahui orang kita.

“Kita juga yang membentuk hala tuju pembangunan, kita yang memastikan orang kita boleh menempuhi masa hadapan sama ada dalam isu teknologi, sains dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi respons kepada perbahasan sempena Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), kelmarin.

Tambahnya, oleh itu orang luar jangan sesekali mempersoal pendirian Abang Johari mengenai saranan memartabatkan bahasa Inggeris selain bahasa Malaysia.

Sebelum ini, Abang Johari mempertahankan langkah Kerajaan Sarawak dalam memutuskan bahasa Inggeris tetap digunakan sebagai bahasa rasmi selain bahasa Malaysia.

Katanya, langkah itu tidak bermakna beliau menentang dasar kebangsaan tetapi ia dibuat berlandaskan perkara yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru katanya, orang ramai juga tidak harus menganggap Kerajaan Sarawak di bawah pimpinannya tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru