Tuesday, August 16, 2022

Pastikan perkhidmatan tip top

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berikrar untuk memberikan yang terbaik bukan sahaja untuk kawasannya tetapi untuk Sarawak.

Beliau berkata demikian selepas memperoleh undi tertinggi dalam pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Sayap Bumiputera PBB yang berlangsung Sabtu lalu.

Dr Hazland, yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar telah memperoleh sejumlah 867 undi, menjadikan beliau menduduki tempat teratas dalam senarai daripada 16 jawatan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan daripada 82 cawangan serta Ahli Majlis Tertinggi kerana memberikan sokongan padu kepada saya.

“Melalui PBB, ini memberi saya semangat dan dorongan untuk meneruskan segala jasa dan perjuangan untuk Sarawak,” katanya dalam sidang media pada hari terakhir Perhimpunan Agung ke-15 PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), kelmarin.

Justeru, beliau berkata akan terus memberi tumpuan kepada tiga bidang iaitu dalam aspek sosial, ekonomi dan politik.

“Untuk politik, kita tahu PBB adalah antara parti politik terbesar dan terkuat di Sarawak dan Malaysia. Justeru, kita mesti meneruskan perjuangan politik untuk memastikan PBB menjadi tunjang kepada politik Sarawak,” katanya.

Dari segi ekonomi, beliau berkata banyak lagi yang perlu dilakukan iaitu meningkatkan ekonomi rakyat, baik di bandar mahupun luar bandar.

“Selain itu, banyak cabaran yang perlu kita hadapi dari segi aspek sosial. Ini termasuk meningkatkan tahap pendidikan di Sarawak, dan PBB akan melakukan yang terbaik untuk memberikan bantuan bagi meningkatkan taraf pendidikan serta membendung gejala sosial,” katanya.

Selain itu, beliau berkata memandangkan Sarawak kini berada di mata dunia, maka adalah penting untuk melahirkan modal insan berkualiti dengan pendidikan tinggi.

“Ini adalah cabaran buat saya, saya juga mesti pastikan perkhidmatan saya juga tip top,” katanya lanjut

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru