Sunday, June 26, 2022

Tidak semestinya jadi YB

Secara Rawak

KUCHING: Wanita boleh terlibat dalam politik tanpa perlu memegang jawatan sebagai seorang wakil rakyat, kata Tan Sri Empiang Jabu.

Beliau berkata demikian membidas tanggapan orang ramai yang beranggapan bahawa seseorang itu perlu menjadi wakil rakyat untuk menceburi bidang politik.

Menurutnya, sekiranya wanita mempunyai cadangan, suarakan serta sampaikan idea tersebut kepada ketua parti melalui cawangan Wanita PBB dan lain-lain.

“Libatkan diri dengan parti politik wanita. Jika ada sebarang cadangan bernas, utarakan agar ia dapat dikembangkan lagi untuk menjadi satu idea yang lebih hebat.

“Jika tidak dilantik sebagai wakil rakyat, gunalah inisiatif sedemikian. Banyak inisiatif boleh dilakukan untuk berkhidmat,” katanya ketika ditemu bual pemberita.

Katanya, wanita kini sudah melangkaui jangkaan dengan dalam 82 kerusi yang ada di Dun Sarawak, ada daripadanya berjaya diisi oleh wanita.

“Mereka berjaya memecah tradisi ini. Bukan itu sahaja, ada juga jawatan lain khusus untuk wanita seperti setiausaha politik, ketua Wanita PBB dan sebagainya. “Siapa kata wanita tidak boleh terlibat dalam politik?” soalnya.

Beliau turut mengimbau semula dan berkongsi pengalaman ketika dirinya masih bekerja sebagai seorang guru sebelum menceburi bidang politik.

Beliau merupakan wanita Dayak pertama yang menerima ijazah dalam bidang pendidikan, menerima Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Victoria, New Zealand pada 1967.

Setahun kemudian, beliau mendapatkan diploma dalam bidang perguruan dari Maktab Perguruan Epsom.

“Saya masih mengajar apabila diminta untuk mengambil alih jawatan timbalan ketua untuk sayap wanita.

“Mendiang Datin Amar Margaret Linggi yang merupakan timbalan ketua sayap Wanita PBB ketika itu telah mengetuai wanita-wanita dari Majlis Tertinggi Wanita PBB menemui saya.

“Saya memberitahu mereka, mustahil untuk saya memegang jawatan tersebut kerana saya masih bekerja.

“Lebih-lebih lagi, saya mempunyai anak-anak yang masih kecil serta tidak mempunyai ramai pembantu,” katanya.

Setelah melalui beberapa perbincangan, kerjaya politik Empiang akhirnya bermula pada 1984, apabila beliau dilantik sebagai Ketua Wanita PBB bagi Bahagian Layar.

Pada tahun berikutnya, beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung PBB dan Timbalan Ketua Wanita parti.

Walaupun begitu, Empiang tetap menegaskan pendidikan adalah perkara terpenting yang dapat memperkasakan wanita.

Beliau menekankan bahawa pendidikan adalah pendekatan penting terhadap wanita luar bandar. “Saya sering menyuruh mereka untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

“Mendiang bapa saya agak berwawasan berbanding kebanyakan lelaki pada zamannya kerana membenarkan anak perempuannya pergi ke sekolah.

“Pada zaman itu, kebanyakan gadis tidak dibenarkan pergi ke sekolah, tetapi dia benarkan.

Malah, dia memastikan saya mempunyai wang saku yang mencukupi.

“Jika saya tidak menerima apa-apa pendidikan, tidak ada tempat di mana saya berada sekarang,” katanya. “Justeru, libatkan diri dengan parti. Beri mereka idea. Jika anda ada idea, nyatakan.

“Terdapat banyak cara anda boleh berkhidmat untuk parti tanpa perlu menjadi wakil rakyat,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru