Sunday, June 26, 2022

Setia dan utamakan PBB

Secara Rawak

KUCHING: Ahli parti PBB digesa untuk memberikan keutamaan dan kekal setia kepada parti bagi memastikan ia terus kukuh pada masa akan datang. Mantan Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, perkara itu penting kerana kestabilan dan perpaduan dalam parti telah memberikan kemenangan besar pada PRN-12 lalu.

Menurutnya, bagi sesetengah pihak, mereka mungkin tidak mempedulikan perkara itu tetapi beliau secara peribadi melihat ia sangat penting.

“Justeru, kita mesti mengutamakan parti, bukan kepentingan peribadi. Sesiapa yang berada dalam parti, mesti fikir parti itu lebih besar daripada dirinya sendiri.

“Ini supaya parti boleh menjadi lebih kukuh dan kuat, inilah PBB hari ini,” katanya semasa sesi temu bual di Ibu Pejabat PBB di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, sebagai ahli politik dan ahli dalam sesebuah parti termasuk golongan muda, perkara pertama yang perlu ada dalam diri adalah taat setia dan keinginan untuk bekerja untuk parti.

“Kedua, anda mesti mendahulukan pengundi, dan ketiga memainkan peranan serta tugas sebagai wakil rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sudah menjadi budaya dalam PBB untuk memberi laluan dan peluang kepada golongan muda yang berkemampuan bagi mengambil alih jawatan serta tugas mereka yang terdahulu.

“Semasa PRN ke-12 lalu, saya telah memutuskan untuk berundur dan memberi laluan kepada golongan muda memimpin, ia juga menyaksikan Dr Simon Sinang Bada memenangi kerusi Tebedu.

“Jadi, inilah budaya yang perlu kita kekalkan dalam PBB, tetapi apabila anda memberi laluan kepada golongan muda, pastikan anda terus memberi sokongan penuh kepada mereka.

“Ini yang saya lakukan, saya menyokong Dr Simon, pengganti saya,” tegas mantan Adun Tebedu itu.

Terdahulu, Manyin, 77, merupakan seorang pendidik sebelum menyertai politik dan telah berkhidmat sebagai Adun Tebedu dari 1996 sehingga bersara tahun lalu.

Beliau juga pernah memegang beberapa portfolio dalam Kabinet Sarawak di bawah pimpinan ketua menteri terdahulu iaitu Tun Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem termasuk Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Beliau juga merupakan Menteri Pendidikan, Sains, dan Penyelidikan Teknologi dari 2017 hingga 2021.

Sehubungan itu, semasa sesi temu bual tersebut, Manyin memberitahu bahawa beliau melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden Kanan PBB.

“Bagaimanapun, politik masih di dalam hati saya. Saya masih bersama PBB dan menyokong parti selagi saya masih mampu.

“Seperti pilihan raya negeri lalu, saya berkempen setiap malam. Pada pilihan raya akan datang, sekiranya saya sihat dari segi fizikal, saya akan berada di sana untuk berkempen.

“Saya tidak pernah menyesal menyertai politik,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru